300 individu termasuk persatuan terima sumbangan bakul makanan
Seramai 300 individu termasuk persatuan menerima sumbangan bakul makanan di Dewan Serba Guna Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, Batu 10, di sini semalam.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sumbangan terbabit antara salah satu usaha daripada pihak Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) membantu golongan yang memerlukan.
“PBSM sememangnya memiliki sikap yang mengambil berat terhadap individu yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa mereka saban tahun.
“Oleh itu, sumbangan ini sesuai dilakukan pada musim banjir dan boleh dijadikan pengajaran tentang nilai kebajikan awam dan saling membantu orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang semasa sumbangan bakul makanan di bawah Projek Rezeki Sejuta Ummat di Dewan Serba Guna SJK
Chung Hua Batu 10, di sini semalam.
Dr Sim menambah, usaha memberi dan membantu golongan yang memerlukan ini sekali gus dapat dijadikan sebagai motivasi kepada pihak lain untuk terus membantu golongan terbabit.
“Walaupun kita berbeza agensi pekerjaan, namun
sekiranya kita melayan semua orang dengan adil dan baik, ia akan membina sifat hubungan yang kukuh dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, terima kasih kepada PBSM dan sukarelawan persatuan itu yang sentiasa berdedikasi untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Red Recilience Bulan Sabit Merah Malaysia Dato Wan Nor Raihan Dato Wan Abdul Rahman, Pengarah Red Recilience Malaysia Cawangan Sarawak Chai King Sing, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Tan Kai dan tetamu yang lain.