Khidmat optimum kepada rakyat Gedong
Rancangan bina bangunan Majlis Daerah Gedong masih dalam perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohd Abu Bakar Marzuki.
Kerajaan Sarawak merancang membina bangunan Majlis Daerah Gedong dalam usaha memberikan perkhidmatan yang optimum kepada rakyat Gedong.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rancangan untuk membina bangunan itu masih dalam perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohd Abu Bakar Marzuki.
Memandangkan majlis daerah merupakan salah satu cabang penting bagi kerajaan katanya, adalah perlu untuk mereka disediakan dengan bajet dan kemudahan asas sendiri.
“Justeru, apabila wujud bangunan itu kelak, ahli majlis di Gedong dan ahli jawatankuasa kecilnya akan mempunyai pejabat dan ruang sendiri untuk berbincang mengenai infrastruktur dan pentadbiran daerah.
“Maknanya, daerah ini akan dapat melaksanakan pembangunan yang diinginkan segera demi manfaat rakyat kawasan ini (Gedong),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Daerah Gedong di Hikmah Exchange di sini, semalam.
Sementara itu, Abang Johari berkata, untuk membangunkan sesebuah daerah, ia perlu dibangunkan mengikut kaedah era baharu.
“Bermakna, kita perlu menggunakan teknologi baharu termasuk teknologi maklumat (IT) bagi membangunkan sesebuah daerah sebagai daerah pintar.
“Umpamanya bagi ahli ahli majlis hari ini, mereka boleh menggunakan aplikasi untuk berhubung antara satu sama lain bagi membincangkan dan menangani sebarang masalah yang timbul di kampung atau daerah.
“Melalui kaedah ini, kita akan dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih cepat. Inilah yang kita panggil perkongsian pintar,” ujarnya.
Abang Johari turut menggesa ahli majlis bagi majlis daerah di seluruh Sarawak untuk memberi tumpuan kepada pembangunan keseluruhan kawasan dan mengukuhkan ikatan antara mereka dan rakyat.
Mengenai majlis angkat sumpah itu, beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan 31 ahli majlis bagi Majlis Daerah Gedong.
“Tahniah dan syabas kerana dilantik sebagai ahli majlis dan selamat menjalankan tugas di bawah pimpinan Pengerusi Majlis Daerah Gedong Tamida Da’adi,” katanya.