Dua lelaki ugut bunuh wanita, halang tugas polis ditangkap
Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ugutan bunuh ke atas seorang wanita dan menghalang anggota polis daripada menjalankan tugas diberkas setelah kenderaan yang dinaiki mereka dalam cubaan melarikan diri terbabas.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu memberitahu, kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 35 tahun itu kini direman lima hari sehingga 9 Mac ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Terdahulu, beliau mengesahkan menerima satu laporan polis daripada seorang wanita yang mendakwa telah diancam bunuh oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Katanya, kejadian berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati setelah ditegur pengadu kerana tindakannya yang membuat bising di kawasan perumahan pengadu.
“Semasa tangkapan dijalankan sekitar jam 3 petang kelmarin (Ahad), suspek tidak memberikan kerjasama sebaliknya bertindak agresif dengan memandu kenderaan jenis Perodua Axia dan cuba melanggar pasukan tangkapan.
“Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan namun suspek masih lagi melarikan diri sehinggalah kereta yang dinaiki mereka terbabas di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan malam kelmarin.
Akibat kemalangan kendiri itu, kedua-dua suspek mengalami kecederaan ringan.
Berikutan itu kata Alexson, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang polis daripada menjalankan tugas serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bersabit satu laporan di Balai Polis Lutong.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu-isu sensitif yang boleh mengundang kerisauan dalam kalangan masyarakat setempat.
Sebaliknya ujar beliau, salurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah dengan tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian 085-433730.