Pemimpin masyarakat perlu bantu bangunkan kawasan
Amalkan turun padang bersama pemimpin negeri, adakan perbincangan dengan masyarakat di kawasan masing-masing
SRI AMAN: Pemimpin masyarakat diingatkan supaya terus melaksanakan tanggungjawab untuk membangun dan memajukan kampung serta rumah panjang masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis menegaskan, pemimpin masyarakat perlu turun padang bersama-sama pemimpin negeri, di samping selalu mengadakan perbincangan dengan masyarakat dalam kawasan masing-masing.
“Melalui perbincangan yang diadakan, memudahkan segala proses perancangan pembangunan yang akan dibangunkan di kawasan masing-masing,” ujarnya.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 1 Siri 7 Bil.2/2024 anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) bersama Pejabat Daerah Sri Aman Pejabat Daerah Sri Aman di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Seramai 38 peserta yang terdiri daripada penghulu, tuai rumah dan ketua kaum di kawasan Simanggang menghadiri kursus tersebut.
Katanya lagi, para pemimpin juga perlu seiring dengan pelaksanaan dasar kerajaan serta memahami situasi semasa bagi memastikan perancangan kerajaan mendapat kerjasama dan berjaya.
“Kita tidak mahu perancangan murni kerajaan dalam sesebuah rumah panjang tergendala atau ditarik balik kononnya tidak mendapat restu dari penduduk rumah panjang atau rakyat sehingga boleh merugikan masyarakat itu dalam masa yang agak lama.
“Sebagai pemimpin, kita harus berkorban masa demi memastikan perancangan kita berjaya,” katanya lanjut.
Beliau menambah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) merupakan tunjang
kepada kesinambungan sosio budaya, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat akar umbi.
“KMKK juga berperanan sebagai ‘jambatan’ antara
masyarakat dan kerajaan dalam aspek penyampaian maklumat,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kumpulan tersebut turut menjadi ikon kepada masyarakat akar umbi
bagi memberi contoh terbaik pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Intergriti dan Ombudsman)
Datuk Dr Juanda Jaya, Residen Bahagian Sri Aman Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang serta yang lain.
“Melalui perbincangan yang diadakan, memudahkan segala proses perancangan pembangunan yang akan dibangunkan ” di kawasan masing-masing. Datuk Francis Harden Hollis Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak