FC Stuttgart lanjutkan kontrak Hoeness dua tahun lagi sehingga 2027
BERLIN: Kontrak jurulatih kelab FC Stuttgart, Sebastian Hoeness, dilanjutkan dua tahun sehingga 2027 pada Jumaat, satu ganjaran kerana membimbing skuad dari calon penyingkiran kepada pencabar kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Hoeness dikaitkan dengan beberapa kelab kerana kejayaannya mengubah nasib kelab, termasuk Bayern Munich, di mana jurulatihnya, Thomas Tuchel akan ditamatkan kontrak lebih awal pada akhir musim ini.
Hoeness, 41, mengambil alih tugas bersama Stuttgart pada April 2023 ketika kelab berada di kedudukan terakhir liga. Dia kemudian membimbing kelab memenangi dua perlawanan playoff penyingkiran menentang kelab divisyen dua, Hamburg untuk terus kekal dalam Bundesliga Jerman, selain membimbing kelab ke peringkat separuh akhir Piala Jerman.
Stuttgart dibayangkan terus bergelut pada musim ini, terutama sekali selepas kehilangan kapten pasukan, Wataru Endo, yang berpindah ke Liverpool di awal musim.
Bagaimanapun, Hoeness membimbing pasukannya ke tangga ketiga liga ketika ini, tujuh mata di hadapan pasukan di tangga kelima liga ketika Stuttgart mengintai peluang untuk kembali beraksi dalam Liga JuaraJuara buat kali pertama sejak musim 2009/2010.
Dengan 50 mata selepas 24 perlawanan, tiada pasukan Stuttgart yang pernah mempunyai rekod yang lebih baik di peringkat musim ini, termasuk pasukan yang memenangi kejuaraan Bundesliga Jerman pada 2007.
Hoeness menghasilkan prestasi terbaik daripada beberapa pemain termasuk penyerang Serhou Guirassy, yang menjaringkan 20 gol dari 18 perlawanan liga musim ini dan pemain pinjaman dari Brighton, Deniz Undaz, yang menjaringkan 14 gol dari 20 perlawanan.
“Stuttgart adalah kelab yang istimewa. Ketika kecil, saya duduk dalam stadium dan bersorak untuk pasukan,” kata Hoeness, yang pernah bermain sebagai pemain tengah untuk skuad remaja Stuttgart.
“Sasaran kami ialah untuk meletakkan Stuttgart di kelompok teratas liga sekali lagi.”
Menganggap lanjutan kontrak sebagai “langkah tepat dan wajar,” CEO kelab, Alexander Wehrle, berkata: “Sebastian Hoeness dan Stuttgart cukup serasi bersama.”
Pakcik Hoeness, Uli, adalah salah seorang anggota lembaga pengarah kelab Bayern Munich dan masih kekal sebagai salah seorang pemimpin paling berpengaruh di kelab. Ayahnya, Dieter, menjaringkan 102 gol dalam 224 perlawanan untuk Bayern, selain pernah beraksi bersama Stuttgart selama empat tahun.
Stuttgart menewaskan Union Berlin 2-0 pada Jumaat untuk merapatkan jurang ketinggalan di belakang Bayern Munich dengan kurang satu mata.