MOTS komited bangun dan modenkan sistem pengangkutan sungai di Sarawak
Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) komited untuk membangun dan memodenkan sistem pengangkutan sungai di negeri ini.
Menterinya Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kementeriannya mahu menjadikan sungai-sungai di Sarawak sebagai sebahagian daripada rangkaian pengangkutan dan logistik bagi kegunaan komersial.
Sehubungan itu katanya, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) perlu bekerjasama rapat dengan MOTS untuk menggalakkan penggunaan sungai sebagai pengangkutan, terutama melibatkan barangan bersaiz besar dan bukannya hanya bergantung kepada jalan raya semata-mata.
“Sekiranya banyak kargo besar boleh diangkut melalui sungai, maka kita dapat mengurangkan kerosakan
pada jalan raya kita.
“Di samping itu, boleh mengurangkan kemalangan dan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan
kelmarin.
Terdahulu, Lee mengadakan mesyuarat bersama Pengerusi LSS Safiee Ahmad di pejabatnya di Bangunan
Baitulmakmur di sini pada Rabu lalu.
Semasa mesyuarat itu, Lee turut meminta Safiee untuk terus bekerjasama dengan pengurusan LSS dalam usaha menambah baik struktur organisasi tersebut.
Ia supaya mereka dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab LSS serta penyampaian perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan, katanya.
Terdahulu, Safiee mengadakan kunjungan hormat terhadap Lee susulan pelantikannya sebagai Pengerusi LSS yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2024.
Tujuan kunjungan hormat itu adalah untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai rancangan masa depan MOTS dan hala tuju LSS.
Hadir sama, Timbalan Menteri MOTS (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep, Setiausaha Tetap MOTS Dato Ir Alice Jawan Empaling dan Kontroler LSS Lt Kol Ding Tiew Wong.