Pihak berwajib digesa lebih cekap tangani kerosakan lampu isyarat
Pihak berwajib digesa lebih cekap menangani masalah kerosakan lampu isyarat di persimpangan Jalan Salim/Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini.
Seorang pengguna jalan raya tersebut, Sumarin Asok, 58, berkata kerosakan lampu isyarat di situ kerap berlaku hampir setiap hari sejak tiga atau empat hari kebelakangan ini.
“Kalau tidak rosak awal pagi, ia rosak tengah hari dan boleh berlaku bila-bila sahaja. Kerosakan mula berlaku minggu lalu, Khamis lalu hingga ke hari ini (18 Mac) menyebabkan kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak.
“Lebih teruk apabila berlaku hujung minggu iaitu 17 Mac lalu, walaupun rosak tetapi selepas dibaiki, ia kembali seperti biasa namun kini rosak lagi,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Begitupun, Sumarin menjelaskan kerap juga pihak terbabit datang sebaik sahaja
dilaporkan lampu isyarat itu rosak.
Sementaramenantiketibaan pihak teknikal daripada pihak terbabit membaikinya, kerap juga dilihat anggota polis datang membantu mengawal lalu lintas bagi melancarkan aliran trafik.
“Namun, sebelum itu antara tempoh ketibaan polis mengawal lalu lintas, masa itulah kesesakan berlaku
apabila kenderaan dari keempat-empat simpang berebut-rebut keluar menuju laluan masing-masing.
“Tindakan ini menyebabkan kesesakan apabila masing-masing terperangkap di persimpangan itu sehinggalah ketibaan anggota polis,” jelasnya.
Sumarin turut mempersoalkankenapalampu isyarat itu kerap mengalami
kerosakan.
“Kenapa lampu isyarat ini selalu rosak sejak kebelakangan ini? Kalau sekali dua rosak dalam sebulan dua tak apa, ini rosak hampir setiap hari,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mencari mekanisme terbaik menangani masalah kerosakan lampu isyarat itu dengan segera.