Pusat Khidmat Miri jayakan siri program serahan baucar kepada pelajar sekolah
Sepanjang minggu lalu, pasukan Pusat Khidmat Miri telah menjayakan siri Program Serahan Baucar ‘Back to School’ 2024 di beberapa sekolah bagi membantu pelajar daripada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
Pasukan itu yang mewakili Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man telah mengadakan program berkenaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Krokop, SJKC North, Sekolah Kebangsaan (SK) St Joseph, SK Senadin serta penduduk di kawasan Tudan Desaras dan Kuala Baram, di sini.
Menurut Chiew, tujuan program ini adalah untuk menyerahkan baucar kepada golongan yang memerlukan bagi membolehkan mereka membeli peralatan sekolah untuk anak-anak mereka.
“Ia adalah satu inisiatif yang sangat penting bagi kami untuk memberi sokongan kepada keluarga kurang berkemampuan dalam persediaan untuk tahun persekolahan seterusnya.
“Pendidikan merupakan satu perkara yang amat dekat dengan hati saya.
“Dari pembangunan infrastruktur, kebajikan murid di kawasan setempat sehingga ke peringkat Dasar Pendidikan
Negara, saya memang aktif terlibat dan memberi sokongan penuh.
“Saya berharap anak-anak dapat menggunakan baucar yang diagihkan ini untuk mendapatkan peralatan sekolah yang diperlukan.
“Saya berharap setiap anak dapat menghayati nilai-nilai pendidikan dengan baik dan meningkatkan diri menerusi proses pembelajaran.
“Semoga dengan itu, mereka dapat membantu meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga mereka,” tambahnya.
Pada masa yang sama,
Chiew juga berharap agar baucar itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada ibu bapa dalam persiapan untuk tahun persekolahan anakanak mereka.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini, serta kepada Kampung Al-Junaid, Kuala Baram, Miri atas kerjasama yang diberikan.
“Semoga inisiatif seperti ini dapat terus membantu mereka yang memerlukan dalam masyarakat kita,” ujar Chiew lagi.