Polis syor Bolsonaro didakwa palsukan sijil vaksinasi COVID
Polis Brazil telah mengesyorkan agar bekas presiden Jair Bolsonaro didakwa atas tuduhan memalsukan sijil vaksinasi COVID miliknya, menurut laporan siasatan yang diterbitkan kelmarin.
Bolsonaro telah disiasat sejak tahun lalu berhubung dakwaan memalsukan rekod vaksinasi COVID sendiri semasa menjadi presiden di mana dia mendapat kecaman kerana memandang rendah tahap risiko wabak itu.
Polis persekutuan berkata dalam laporan setebal 231 muka surat bahawa Bolsonaro dan lapan orang lain telah merancang untuk mengeluarkan “sijil palsu untuk mendapatkan kelebihan” semasa wabak itu.
Kini keputusan terletak pada pejabat Peguam Negara untuk memutuskan sama ada mereka akan mendakwa
Bolsonaro dalam kes itu.
Bolsonaro yang berusia 68 tahun telah disoal siasat oleh polis berhubung dakwaan itu dan rumahnya diserbu pada Mei tahun lalu.
Dia menafikan tuduhan itu dan menuduh pihak berkuasa cuba “membina kes” terhadapnya.
Pada Januari, pejabat pengawas jeneral Brazil mengesahkan bahawa sijil vaksinasi COVID Bolsonaro telah dipalsukan, tetapi mengesyorkan negara menutup kes itu kerana “kekurangan bukti yang mencukupi” mengenai siapakah yang telah memasukkan data tersebut.
Bolsonaro menghadapi kritikan teruk atas pengurusannya terhadap wabak itu, selepas menentang pelaksanaan penutupan dan memberitahu rakyat Brazil untuk “berhenti merengek” ketika kematian mencapai rekod tertinggi.
Dia juga mempromosikan rawatan yang tidak terbukti berkesan, dan bergurau bahawa vaksin boleh “mengubah kamu menjadi buaya”.
Lebih 700,000 orang di Brazil maut akibat COVID.
Bolsonaro juga mengakui dia tidak menerima vaksin.
Rekod kesihatan awam menunjukkan dia menerima vaksin di Sao Paulo pada Julai 2022, tetapi pejabat pengawal mendapati data ini dimasukkan secara palsu.
Fabio Wajngarten, peguam Bolsonaro, menyifatkan dakwaan polis sebagai “tidak masuk akal”.
“Semasa dia berkhidmat sebagai presiden, Bolsonaro dikecualikan sepenuhnya daripada mengemukakan sebarang jenis sijil dalam perjalanannya,” kata Wajngarten, menyelar dakwaan itu sebagai “penganiayaan politik”. — AFP