Ratcliffe fokus kembalikan kegemilangan Man Utd
Pemilik bersama Manchester United, Jim Ratcliffe mendedahkan bahawa dia tidak memburu pemain bintang seperti Jude Bellingham ketika cuba mengembalikan nasib kelab.
Ratcliffe sudah mengambil alih operasi bola sepak di United berikutan pembelian 25 peratus saham di kelab Liga Perdana Inggeris itu dengan nilai satu bilion pound.
Dengan United bergelut dalam musim kedua Erik ten Hag sebagai pengurus, Ratcliffe dijangka untuk membuat pembelian penting pada penutup musim.
United belum memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak 2013 dan ketika ini berada di tangga keenam liga, walaupun mereka layak ke peringkat separuh akhir Piala FA Inggeris selepas menewaskan Liverpool pada Ahad.
Muncul sebagai tetamu dalam podcast Geraint Thomas, pemimpin berusia 71 tahun itu ditanya sama ada dia akan cuba untuk mendapatkan Bellingham dari kelab Real Madrid.
“Dia adalah seorang pemain bola sepak yang hebat. Ia bukan fokus kami, penyelesaiannya bukan berbelanja banyak wang untuk mendapatkan beberapa pemain hebat,” kata Ratcliffe.
“Mereka sudah melakukannya, jika anda melihat dalam 10 tahun terakhir, mereka membelanjakan banyak wang untuk beberapa pemain hebat.
“Perkara pertama yang kami perlu lakukan ialah mendapatkan orang yang betul dalam pengurusan kelab.
“Dan memastikan melakukan pembelian pemain yang betul, ia adalah bahagian yang sangat penting dalam bola sepak hari ini.”
Ratcliffe juga ditanya tentang pilihan mendapatkan penyerang antarabangsa Perancis, Kylian Mbappe untuk sukan bola sepak atau penunggang basikal, Tadej Pogacar untuk pasukan sukan berbasikal milik syarikatnya, INEOS.
“Saya lebih suka mendapatkan Mbappe baharu berbanding menghabiskan banyak wang membeli kejayaan,” katanya.
Mbappe dilaporkan bersetuju untuk menyertai Real Madrid dari kelab Paris SaintGermain (PSG) pada akhir musim ini.
Tetapi walaupun jika dia boleh dibeli, Mbappe tidak menepati kehendak Ratcliffe.
“Ia bukan begitu bijak membeli Mbappe. Sesiapa sahaja boleh memahaminya. Lebih mencabarnya ialah mencari Mbappe, Bellingham atau Roy Keane baharu,” katanya.
Ketika dia menjalankan penilaian besar-besaran tentang operasi bola sepak United, Ratcliffe bekerja dengan penolong sejak sekian lama, Dave Brailsford, dengan Omar Berrada akan tiba sebagai CEO baharu dari kelab Manchester City.
Ratcliffe menjadikan ia satu sasaran untuk menyingkirkan Manchester City dan Liverpool sebagai kuasa bola sepak Inggeris tetapi menyedari usaha mencapai sasaran itu akan menjadi satu perjalanan yang jauh.
“Dua orang yang paling memberikan fokus dalam usaha ini ialah Dave dan saya, dari cara bagaimana kami menyelesaikannya,” kata Ratcliffe.
“Kami sekarang mempunyai Omar Berrada, CEO baharu dari Manchester City, yang masih dalam cuti wajib ketika ini. Dia akan menjadi sebahagian besar usaha ini, bersama-sama Dave dan saya.”