Membawa keceriaan menjelang Aidilfitri
357 penerima beragama Islam di Sarikei terima sumbangan menerusi Sejambak Kasih
SARIKEI: Seramai 357 penerima bantuan bulanan kebajikan beragama Islam di Sarikei tersenarai sebagai penerima sumbangan Sejambak Kasih sempena Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program tersebut bertujuan memberi keceriaan dan kegembiraan kepada golongan sasar beragama Islam menjelang Syawal.
“Pada tahun ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah mengagihkan peruntukan berjumlah RM14,260 kepada golongan sasar beragama Islam di Sarikei yang bakal menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Program ini juga akan diperluaskan ke sepuluh bahagian lain di negeri ini dan ia merupakan program yang kita anjurkan setiap kali musim perayaan utama di negeri ini.
“Sasaran utama program ini adalah golongan kurang berkemampuan seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta golongan yang tersenarai dalam penerima bantuan daripada pihak JKM Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Sejambak Kasih Hari Raya 2024 Bahagian Sarikei anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei di Dewan Sri Nyelong di sini, semalam.
Menurut Mohammad Razi, program itu juga platform untuk mengeratkan
hubungan antara ketua kaum dan penduduk serta pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei.
Sehubungan itu katanya, ketua-ketua masyarakat hendaklah memainkan peranan yang amat penting sebagai penghubung kepada organisasi kerajaan.
“Program seperti ini juga akan memberi manfaat kepada rakyat dalam membantu meringankan beban mereka
dan jelaslah ini adalah antara usaha kerajaan yang memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum.
“Untuk rekod, JKM Sarawak telah membelanjakan peruntukan negeri sebanyak RM38,917,100 untuk 11,121 kes penerima bantuan sepanjang tahun 2023, manakala peruntukan RM216,010,750 daripada sumber kerajaan persekutuan untuk 56,169 kes pada
tahun yang sama.
“Jumlah keseluruhan penerima bantuan dikendalikan oleh JKM Sarawak adalah 56,169 pada tahun 2023,” kata Mohammad Razi lagi.
Hadir sama Pengarah JKM Sarawak Adana Jed, Temenggung Awangku Ibrahim Awangku Hosain dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei Uwieng Gimos.
“Sasaran utama program ini adalah golongan kurang berkemampuan seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) serta golongan yang tersenarai dalam penerima bantuan daripada pihak JKM ” Sarawak. Datuk Mohammad Razi Sitam