Utusan Borneo (Sarawak)

Penerima Program Sejambak Kasih Aidilfitri akan beraya secara ala kadar

-

KOTA SAMARAHAN: Penerima Program Sejambak Kasih Aidilfitri di sini berkata mereka akan beraya secara ala kadar, memadai dengan apa yang ada dan belum membuat sebarang persiapan raya lagi.

Demikian luahan salah seorang warga emas yang telah berusia 83 tahun, Jemaiyah Tamin dari Kampung Pangkalan Kuap Melayu kepada Utusan Borneo.

“Saya tidak pernah berkahwin dan baru sahaja kehilangan saudara lelaki. Raya ini cuma mengharapk­an anak buah atau ahli keluarga daripada adik beradik yang tinggal berdekatan bertandang dan memberi juadah raya.

“Lagipun, sukar untuk bergerak kerana pernah jatuh terlentang semasa menjemur kain beberapa tahun lalu.

“Walaupun sukar bagi saya tetapi digagahi dan boleh menjaga diri sendiri, namun tidak dapat hendak melakukan kerja-kerja berat seperti dahulu, ke kebun dan sebagainya,” katanya.

Anak sulung daripada enam beradik itu bersyukur dengan pemberian bantuan yang diberikan kerajaan negeri untuk membantu meringanka­n beban hidupnya.

Sementara itu, Jamil Sen yang juga dari kampung yang sama dengan Jemaiyah berkata dia telah kehilangan kaki akibat penyakit kencing manis sejak empat tahun lalu.

Beliau yang juga penerima bulanan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) itu sejujurnya amat bersyukur kerana diberikan bantuan sedemikian.

“Terpaksala­h berdikari, bertanam sayur untuk makan sendiri… jual di kampung sahaja kalau ada lebih tetapi tidak cukup,” katanya.

Isterinya pula lumpuh dan beliau terpaksa membuat semua kerja di rumah dan anak-anak telah besar, berhijrah dan tidak tinggal bersama lagi.

Begitu juga halnya dengan Rahim Bandan, 51, dari Kampung Tambirat Ulu, Asajaya yang telah kehilangan kaki kanannya ekoran kemalangan kira-kira 15 tahun lalu.

Beliau kini menyara kehidupan bersama isterinya itu dengan menjadi nelayan dan gembira diberikan bantuan kaki palsu oleh JKMS semalam.

“Belum lagi buat persiapan raya, masih awal… tapi memang secara sederhana, ala kadar asalkan ada,” katanya kepada pemberita.

 ?? ?? SANTUNI: Rahim (tiga kanan) menerima sumbangan berupa kaki palsu daripada Razi (dua kiri) pada Program Sejambak Kasih Aidilfitri di Masjid Al-Muttaqin, Samarahan semalam.
SANTUNI: Rahim (tiga kanan) menerima sumbangan berupa kaki palsu daripada Razi (dua kiri) pada Program Sejambak Kasih Aidilfitri di Masjid Al-Muttaqin, Samarahan semalam.
 ?? ?? JAMIL
JAMIL
 ?? ?? JEMAIYAH
JEMAIYAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia