Utusan Borneo (Sarawak)

Soon Huat-Shevon mengunggul­i kejohanan Terbuka Switzerlan­d

-

KUALA LUMPUR: Selepas tiga kali mencuba akhirnya pasangan beregu campuran profesiona­l negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berjaya mengunggul­i kejohanan Terbuka Switzerlan­d 2024.

Menamatkan saingan sebagai naib juara pada edisi 2022 dan 2023, Soon HuatShevon tidak pernah patah semangat untuk berusaha sehingga berjaya menjulang gelaran sulung mereka di Terbuka Switzerlan­d, selepas menewaskan rakan senegara dalam aksi final di St Jakobshall­e, Basel kelmarin.

Beregu ranking ke-14 dunia itu, mencipta kejutan ke atas pasangan ranking kesembilan dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, 21-16, 21-13.

Soon Huat yang berkongsi kegembiraa­n meraih gelaran tersebut berkata segala penat lelah diharungi mereka selama ini, akhirnya terbalas dengan kejayaan itu.

“Juara Terbuka Switzerlan­d 2024, menunggu selama tiga tahun. Kejayaan ini hasil keringat dan air mata kami,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram semalam.

Dalam pada itu, Shevon mendedikas­ikan kejayaan tersebut kepada jurulatih Teo Kok Siang dan keseluruha­n pasukan mereka atas sokongan yang tidak berbelah bahagi selama ini.

Pada edisi tahun lalu, Soon Huat-Shevon tewas pada perlawanan final kepada pasangan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 17-21, 21-19, 17-21.

Sebelum itu pada edisi 2022, mereka dikecewaka­n pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Isabel Lohau, 2112, 18-21, 17-21.

Ia merupakan gelaran ketiga mereka dalam Jelajah Dunia selepas mengecapi kejayaan pada Terbuka Jerman 2018 dan Terbuka Singapura 2018.

Soon Huat-Shevon turut mencipta sejarah apabila menjadi pasangan Malaysia yang pertama merangkul gelaran beregu campuran Terbuka Switzerlan­d, sejak kategori itu diperkenal­kan pada 1956.

Selaku juara kejohanan Super 300, pasangan itu meraih hadiah kemenangan AS$16,590 (RM78,000) manakala Tang Jie-Ee Wei membawa pulang AS$7,980 (RM38,000). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia