JKKK diseru laksana pelbagai aktiviti untuk tarik belia: Dayang Noorazah
Jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di daerah ini diseru untuk melaksanakan pelbagai aktiviti serta program di peringkat kampung masing masing bagi menarik minat golongan belia menyertai organisasi tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, aktiviti yang dianjurkan bukan setakat tertumpu kepada orang dewasa sahaja, sebaliknya terbuka kepada penyertaan pelbagai peringkat umur termasuk golongan belia.
Ini penting katanya, kerana golongan itu nanti akan menjadi pelapis kepada ahli jawatankuasa organisasi tersebut pada masa hadapan.
“Oleh itu, penglibatan golongan belia dalam organisasi tersebut amat diperlukan kerana golongan ini juga mempunyai idea-idea serta pandangan yang bernas dan setanding dengan golongan dewasa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa anjuran JKKK Kampung Tanjung Engkabang, Sri Aman di pekarangan kedia
man Awang Mohd Serkawi, Tanjung Engkabang di sini, malam kelmarin.
Menurutnya lagi, pelaksanaan aktiviti yang diadakan oleh organisasi tersebut bukan hanya pada bulan Ramadan, sebaliknya perlu memperbanyakkan aktiviti yang lain sepanjang masa.
“Kebiasaannya setiap kali menjelangnya bulan Ramadan kita akan dengar program tahlil, berbuka puasa, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan tidak
ketinggalan juga ‘lombak colop’ menjelangnya malam tujuh likur di sana sini.
“Pada bulan-bulan yang biasa pula, harus diadakan juga program lain yang melibatkan ahli JKKK di pelbagai peringkat umur di mana tujuannya bukan sahaja dapat merapatkan ukhuwah dalam kalangan kita semua, sebaliknya merupakan satu lagi platform untuk kita bertukar-tukar pandangan untuk memajukan JKKK kita,” jelasnya.
Hadir sama, Penghulu Abang Norin Abang Noruddin, Ketua Kaum bagi Kawasan Tanjung Engkabang Mohamad Yusup, Timbalan Pengerusi Communication For Behavioral Impact (COMBI) Bahagian Sri Aman Mohd Israk Ismail, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Hilir Nor Khadijah Abdullah, Pengerusi KRT Bandar Simanggang Tay Cho Seng serta ahli-ahli JKKK Kampung Tanjung Engkabang dan penduduk-sekitar.
Sebelum majlis tahlil bermula, Dayang Noorazah turut berkesempatan menyampaikan sumbangan bantuan kepada golongan asnaf terpilih berupa bakul makanan yang turut mengandungi keperluan asas harian.
Agihan bubur pedas kepada penduduk yang hadir pada majlis berkenaan turut diadakan setelah selesai majlis tahlil dan berbuka puasa.
“Semoga aktiviti seperti ini akan terus diamalkan agar dapat mengukuhkan ukhuwah dan kesatuan sesama komuniti terutamanya dalam kalangan ahli JKKK Kampung Tanjung Engkabang,” ujar Dayang Noorazah lagi.