RTM Miri, KM Mobil santuni golongan kurang berkemampuan di Kampung Kawang Bekenu
Seramai 10 orang golongan kurang berkemampuan dari Kampung Kawang Bekenu menerima sumbangan barangan keperluan asas dalam Program Tanggungjawab Khidmat Sosial Korporat (CSR) Ramadan MiriFm, petang kelmarin.
Pengurus RTM Miri Saiful Arini berkata ia adalah program kolaboratif antara RTM Miri dan syarikat KM Mobil Sdn Bhd dalam menyantuni mereka yang kurang berkemampuan khasnya di bulan Ramadan.
“Kita percaya sumbangan keperluan asas ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban umat Islam yang memerlukan.
“Kita berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang serta mengalakan lebih banyak lagi badan bukan kerajaan
atau syarikat swasta bekerjasama dengan RTM Miri dalam menganjurkan CSR di Miri,” katanya kepada pemberita semasa menyantuni penerima di Kampung Kawang Bekenu.
Saiful berkata program sebegini diharap dapat diteruskan lagi dalam membantu mereka yang memerlukan dalam perayaan besar sama ada Hari Raya, Tahun Baharu
Cina, Gawai dan sebagainya.
“Program ini juga diyakini dapat meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan kakitangan RTM Miri serta organisasi swasta,” jelasnya.
Pengurus Wilayah KM Mobil Sdn Bhd Kenn Tan disertai Ketua Unit Rancangan RTM Miri Simon Suti serta Penerbit Program Joraini Tamin telah bersama-sama menyerahkan sumbangan berupa keperluan asas seperti gula, garam, roti, minyak masak, tepung, beras, kopi, minuman ringan dan telur kepada penerima.
Bagi penerima, Hamidah Bakar berkata dia berterima kepada semua pihak yang prihatin yang memberikan sumbangan kepada mereka ketika bulan Ramadan.
“Rasanya ini adalah kali pertama menerima bantuan ini dan kami bersyukur dapat melakukan persiapan menyambut Hari Raya dan hanya membeli barangan yang belum ada,” jelasnya.
Kolaboratif program ini antara RTM Miri dan KM Mobil Sdn Bhd memasuki tahun keempat yang bertujuan membantu golongan yang memerlukan khasnya KM Mobil yang ingin memberi balik kepada kesejahteraan masyarakat setempat.