Surau Darul Taqwa IPD Miri perlu perjawatan ustaz BAKA
Penempatan perjawatan seorang ustaz dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia(PDRM)diperlukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bagi memimpin apa jua aktiviti keagamaan yang diadakan di sini.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, pada masa ini setiap kali solat dan aktiviti keagamaan diadakan di Surau Darul Taqwa, pihaknya hanya menggunakan pegawai dan anggota IPD Miri yang sedia ada.
“Surau Darul Taqwa IPD Miri telah menjadi tempat untuk para warga PDRM IPD Miri yang beragama Islam untuk menjalankan segala aktiviti keagamaan.
“Malahan setiap malam Jumaat,TimbalanKetuaPolis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol telah mengetuai pegawai dan anggota untuk mengadakan aktiviti bacaan Yasin dan juga tahlil serta pada bulan Ramadan ini juga surau ini turut digunakan untuk solat tarawih.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengusulkan kepada pucuk pimpinan Kontinjen Sarawak agar dapat kiranya membantu
kami menempatkan seorang ustaz dari BAKA bagi memimpin apa-apa juga aktiviti keagamaan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya sempena Majlis Iftar Ramadan Warga Kerja IPD Miri bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata di sini, kelmarin.
Turut menyerikan majlis tersebut ialah isteri Mancha yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sarawak Datin
Jenita William.
Dalam pada itu Alexson berkata, sepanjang bulan Ramadan ini pihak pengurusan Surat Darul Taqwa IPD Miri turut menjemput ustaz dari luar sebagai imam solat tarawih.
Sementara itu, beliau berkata penganjuran Majlis Iftar Ramadan ini bertujuan bagi mengeratkan lagi silaturahim dan beramah mesra di antara warga kerja PDRM IPD Miri bersama pucuk pimpinan PDRM Kontinjen Sarawak.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kesudian Mancha dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus meluangkan masa untuk hadir ke majlis tersebut walaupun masing-masing mempunyai komitmen kerja yang padat.
Majlis tersebut turut menyaksikan pemberian sumbangan raya kepada balu pegawai dan anggota polis IPD Miri serta duit raya kepada anak-anak pegawai dan anggota polis IPD Miri.