Utamakan murid lambat belajar sebelum perkenal AI, kata Sagah
Utamakan perhatian kepada murid yang lambat belajar sebelum memperkenalkan kecerdasan buatan (AI) dalam kurikulum sekolah rendah, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Pada 26 Mac, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulis Parlimen berkata, murid sekolah rendah akan diajar asas AI di sekolah mulai 2027.
Beliau berkata dalam masa beberapa tahun lagi, kurikulum sekolah akan memasukkan celik digital dalam kurikulum sebagai salah satu daripada tujuh kompetensi yang mesti dikuasai oleh murid sekolah.
Ketika ditanya mengenai isu itu, Sagah menekankan jika AI hendak dilaksanakan ke dalam kurikulum, isu seperti murid dalam kumpulan lambat belajar perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Mereka (murid kumpulan lambat belajar) tidak mencapai standard tertentu dalam membaca, menulis dan matematik.
“Sudah tentu, jika ada dana yang tersedia, kita boleh melakukan banyak perkara untuk melaksanakan AI, tetapi kita tidak boleh lupa bahawa kita mesti mendapatkan mereka yang masih belum boleh membaca dan menulis, dan jumlahnya agak membimbangkan,” kata Sagah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran majalah Synthesis Sarawak di sini, kelmarin.
Bercakap mengenai
terbitan sulung majalah Synthesis Sarawak, beliau berkata penerbitan majalah hasil rekaan kementerian itu adalah bukti komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasakan masyarakat Sarawak, khususnya dalam kalangan belia.
“Majalah Synthesis terbitan sulung menawarkan gambaran yang menarik tentang kemajuan sains dan teknologi luar biasa yang berlaku di Sarawak.
“Kejayaan ini dapat dicapai melalui perkongsian kerjasama antara kerajaan kita, GLC kita, dan institusi akademik kita. Semangat perpaduan itu adalah pemangkin kepada inovasi yang berterusan.
“Majalah Synthesis Sarawak berfungsi sebagai inspirasi, menggesa generasi akan datang agar tidak gentar merangkul kerjaya dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Bidang-bidang ini akan menjamin masa depan mereka dan menerajui pertumbuhan Sarawak yang kita cintai,” katanya.
Majalah Synthesis Sarawak akan memaparkan artikel mengenai penyelidikan yang dijalankan di negeri ini, ditulis dalam gaya yang mudah difahami.
Majalah itu yang akan diedarkan ke sekolah, universiti, dan perpustakaan awam di seluruh Sarawak merangkumi pelbagai bidang seperti bioteknologi, tenaga bersih dan bahan termaju.
Majlis turut dihadiri dua Timbalan Menterinya Datuk Dr Annuar Rapa’ee dan Datuk Francis Harden Hollis dan Setiausaha Tetap Kementerian Datu Azmi Bujang.