Verstappen dalam senarai teratas pilihan Mercedes gantikan Hamilton
Max Verstappen akan berada dalam senarai teratas Mercedes untuk kemungkinan pengganti juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton pada 2025 jika dia bebas untuk dipilih, menurut pengurus pasukan Mercedes, Toto Wolff.
Verstappen, juara dunia tiga kali, mempunyai satu kontrak bersama pasukan Red Bull sehingga 2028 tetapi masa depannya di pasukan itu diselubungi dengan masalah perhubungan di antara ayahnya, Jos dan pengurus pasukan Red Bull, Christian Horner.
Mercedes akan kehilangan Hamilton pada akhir musim ini selepas mengumumkan sebelum bermulanya musim baharu ini di mana dia akan berpindah ke Ferrari, dengan pemenang perlumbaan Grand
Prix Australia Ahad lepas, Carlos Sainz akan kehilangan tempatnya.
“Kami mempunyai satu tempat yang kosong, satusatu pasukan utama - melainkan Max membuat keputusan dia mahu pergi dan kemudian tempat itu tidak akan kosong untuk kami,” kata Wolff dalam satu temu bual bersama penyiaran Fox Sports Australia di Melbourne.
Temu bual yang dibuat selepas sesi ujian masa kelayakan, bagaimanapun tidak begitu menarik perhatian ketika itu tetapi komentar itu menarik perhatian selepas tamat perlumbaan.
Ditanya jika Verstappen akan menjadi pilihan nombor satu, Wolff berkata: “Ya. Anda melihat apa tahap prestasinya tetapi saya tidak menolak pemandu lain juga.”
Wolff pernah cuba mendapatkan Verstappen ketika masih remaja sebelum dia menyertai Red Bull tetapi Wolff tidak akan menawarkannya tempat dalam F1 dengan serta-merta ketika itu.
Wolf menambah bahawa dia mempunyai perhubungan yang baik dengan Jos dan ada bertemu ketika di Vienna untuk membincangkan kemungkinan masa depan namun pemandu sudah menerima tawaran dari Red Bull ketika itu.
“Ia satu perhubungan yang perlu berlaku pada satu peringkat tetapi kami tidak tahu bila,” katanya apabila ditanya jika mendapatkan Verstappen akan melengkapkan satu kitaran.
Wolff juga menyebut bahawa juara dunia dua kali, Fernando Alonso, Sainz dan pemandu sokongan Mercedes yang berlumba dalam kelas F2, Kimi Antonelli, juga sebagai antara pilihan lain.
“Jelas sekali ada Fernando, yang juga sangat menarik, dan Carlos, yang sangat bagus. Jadi ada beberapa pilihan lain,” katanya.
Verstappen tidak menolak satu kemungkinan berpindah ke Mercedes dalam jangka masa panjang tetapi berkata di Australia bahawa dia selesa bersama “keluarga kedua” Red Bull dan ia pastinya satu cerita yang hebat untuk menamatkan karier F1 bersama mereka.
Mercedes, yang pernah menguasai F1 selama satu dekad sebelum ini, gagal memenangi sebarang perlumbaan musim lepas dan di Australia, kedua-dua pemandunya gagal menamatkan perlumbaan, kali pertama ia berlaku sejak 2018. — AFP