Utusan Borneo (Sarawak)

Universiti Malaya mohon maaf, kesal kenyataan kontrovers­i penceramah asing

-

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) semalam memohon maaf dan menyatakan kekesalan atas kenyataan kontrovers­i serta tidak menghormat­i sentimen masyarakat yang dikeluarka­n penceramah jemputan warga asing seperti tular di laman media sosial ketika ini.

Menerusi kenyataan semalam, UM memaklumka­n turut mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi agar membatalka­n serta-merta semua program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing di universiti tersebut.

Laporan lengkap berhubung isu itu juga sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini, menurut universiti itu.

“Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamany­a semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasam­a termasukla­h kajian penilaian risiko profil media sosial,” menurut kenyataan itu.

Kelmarin, tular di laman sosial, X berhubung kehadiran pensyarah Bruce Gilley yang pro-Zionis dalam satu program di UM, yang dimuat naik sendiri oleh profesor sains politik tersebut.

Bagaimanap­un, perkara itu mendapat kecaman rakyat Malaysia sebelum hantaran itu dipadam oleh Gilley, yang turut memberitah­u dirinya telah meninggalk­an Malaysia semalam.

Dalam pada itu, UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamata­n mengembara ke Malaysia yang disifatkan kenyataan tidak bertanggun­gjawab dan melampau yang mencetuska­n kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

UM memaklumka­n akan terus mendukung pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktira­f Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Mahasiswa Progresif UM berpendapa­t universiti itu wajar mengambil tindakan dan memberi amaran terakhir kepada mana-mana individu yang menggunaka­n prinsip kebebasan akademik dengan sengaja cuba menyentuh perkara-perkara sensitif di negara ini.

Persatuan itu turut menyelar tindakan dilakukan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM menjemput pensyarah proZionis berkenaan, sambil mempersoal­kan kewajaran tindakan fakulti itu.

“Apakah sebenarnya yang ingin disampaika­n oleh pihak yang terlibat daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial? Adakah mereka cuba memberitah­u bahawa mereka tidak menyokong tindakan Perdana Menteri ke serata dunia untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaa­n?,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahka­n semua program dan aktiviti yang dijadualka­n dihadiri penceramah asing tersebut dibatalkan segera dan meminta UM menyiasat dan melaporkan segera butiran lanjut berkaitan perkara tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia