Utusan Borneo (Sarawak)

Rumah Putih tuntut ‘jawapan’ Israel mengenai dua kubur besar di Gaza

-

Rumah Putih kelmarin menuntut “jawapan” daripada pihak berkuasa Israel selepas penemuan kubur besar di dua hospital Gaza yang musnah dalam serangan Israel.

Sehari sebelumnya, agensi Pertahanan Awam Gaza berkata pasukan pekerja kesihatan menemui hampir 340 mayat orang yang didakwa dibunuh dan ditimbus oleh tentera Israel di Hospital Nasser di Khan Yunis.

Kira-kira 30 mayat dilaporkan ditemui tertimbus dalam dua kubur di halaman hospital Al-Shifa di Kota Gaza.

“Kami mahukan jawapan,” kata Penasihat Keselamata­n Negara, Jake Sullivan. “Kami mahu melihat perkara ini disiasat secara menyeluruh dan telus.”

Penemuan itu mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menuntut siasatan bebas terhadap situasi itu, disokong oleh Kesatuan Eropah (EU).

Jurucakap tentera Israel, Mejar Nadav Shoshani berkata kubur di Nasser “telah digali oleh penduduk Gaza beberapa bulan lalu.”

Tentera Israel mengakui bahawa “mayat yang dikebumika­n oleh rakyat Palestin” telah diperiksa oleh tentera yang mencari tebusan, tetapi ia tidak menjelaska­n dakwaan bahawa tentera Israel merupakan dalang di sebalik pembunuhan itu.

Hospital, yang terlindung di bawah undang-undang antarabang­sa, telah berulang kali menjadi tumpuan pengeboman Israel sepanjang lebih daripada enam bulan perang di Gaza.

Israel menuduh kumpulan pejuang Palestin Hamas menggunaka­n bangunan perubatan tersebut sebagai pusat arahan dan menahan tebusan yang diculik semasa serangan ke atas Israel pada 7 Oktober.

Hamas telah menafikan dakwaan terbabit.

Serangan 7 Oktober mengakibat­kan kira-kira 1,170 kematian di Israel, menurut pengiraan AFP berdasarka­n angka rasmi Israel.

Sebagai tindakan balas, Israel melancarka­n serangan ketenteraa­n yang telah membunuh sekurang-kurangnya 34,262 orang di Gaza, kebanyakan­nya wanita dan kanakkanak, menurut kementeria­n kesihatan wilayah kendalian Hamas. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia