Utusan Borneo (Sarawak)

KKR, CIDB zahir hasrat hantar pekerja ke Nagasaki teroka kemahiran TVET

-

Kementeria­n Kerja Raya (KKR) menerusi agensinya Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berhasrat memulakan penghantar­an pekerja ke Nagasaki, Jepun menjelang suku keempat tahun ini sebagai kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata sasaran awal penghantar­an pekerja itu melibatkan lima hingga 10 individu setiap kumpulan bergantung kepada permintaan.

Dalam kenyataan semalam, beliau memaklumka­n usaha ke arah kerjasama itu sedang giat dilaksanak­an bersama institusi dan agensi berkaitan di Nagasaki dan program itu akan dimuktamad­kan dalam Memorandum Kerjasama (MOC) dijangka ditandatan­gani tahun ini.

“Melalui kerjasama ini, CIDB bersama agensi serta institusi pendidikan kemahiran di Nagasaki akan bekerjasam­a dalam pertukaran kepakaran teknikal serta latihan membabitka­n kedua-dua pihak terutama dalam sektor pembinaan dan perkapalan,” kata Nanta.

Pertukaran teknologi juga akan diperkemas­kan menerusi kerjasama tersebut yang antara lain memfokuska­n penggunaan teknologi moden dalam kerja kimpalan dan pengendali­an jentera berat.

Nanta yang kini dalam lawatan kerja ke Nagasaki berkata beliau bersama delegasi KKR, CIDB, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut berkesempa­tan bertemu Gabenor Wilayah Nagasaki Dr Oishi Kengo.

Pertemuan itu adalah susulan lawatan kerja CIDB ke Jepun tahun lepas, yang bertujuan meneroka peluang menghantar pelatih TVET ke Nagasaki untuk mendalami ilmu berkaitan, bertepatan dengan komitmen Kerajaan MADANI kepada pembanguna­n belia dan pertukaran pengetahua­n.

“Dalam perbincang­an bersama Dr Oishi kelmarin, kami bersetuju bahawa banyak limpahan manfaat dapat dihasilkan melalui kerjasama ini terutamany­a dalam membantu menyediaka­n latihan vokasional untuk pekerja berkemahir­an serta mengembang­kan lagi pembanguna­n tenaga kerja.

“Ia juga akan menjadi satu usaha perkongsia­n kemahiran dan teknologi yang bermakna bagi kedua-dua negara serta merapatkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, seterusnya memberi faedah kepada ekonomi masing-masing dan menyumbang kepada kemajuan global bidang TVET,” katanya.

Nanta turut menzahirka­n komitmen KKR menerusi CIDB untuk memperkasa TVET terutama membabitka­n generasi muda, selaras dengan peranan CIDB yang dipertangg­ungjawabka­n oleh kerajaan untuk membangunk­an industri pembinaan seterusnya melahirkan pekerja binaan yang kompeten dan berkualiti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia