Utusan Borneo (Sarawak)

PRK Kuala Kubu Baharu saksi pertanding­an empat penjuru

-

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang bermula semalam, menyaksika­n pertembung­an empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.

“Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) menerima kertas penamaan daripada empat orang calon bagi pemilihan Dewan Undangan Negeri bagi bahagian pililhan raya N06 Kuala Kubu Baharu.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaanya,” katanya.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pang Sock Tao yang dipertaruh­kan untuk mewakili PH, dicabar pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili PN, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini dibuka pada jam 9 pagi semalam dan proses mengemukak­an borang pencalonan berlangsun­g selama satu jam.

Khairul Azhari, 54, merupakan calon pertama menyerahka­n borang pencalonan pada 9.04 pagi, diikuti Pang, 31, (9.07 pagi), Nyau, 29, (9.22 pagi) dan Hafizah, 50, (9.55 pagi).

Terdahulu, Pang yang mengenakan kemeja putih dan berseluar hitam tiba di pusat penamaan calon pada 8.40 pagi diiringi Pengerusi Barisan Nasional yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkut­an Anthony Loke, Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Khairul Azhari pula diiringi beberapa pimpinan parti termasuk Pengerusi PN yang

juga Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Hafizah yang juga Timbalan Ketua Biro Penerangan PRM, dan Nyau yang juga pengurus syarikat logistik di Shah Alam, diiringi penyokong dan pencadang masing-masing.

Proses penamaan calon menurut SPR berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandang­nya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytih­aran calon yang bertanding sehingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK KKB adalah sebanyak 40,226 orang, terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pusat Penjumlaha­n Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Kuala Kubu Baharu ialah Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Sebanyak 18 pusat mengundi biasa yang mengandung­i 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mengandung­i tiga tempat mengundi atau saluran awal, akan digunakan.

Kesemua pusat mengundi dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK KKB merupakan yang ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? EMPAT PENJURU: Calon-calon yang akan bertanding bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu (dari kiri) Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) diumumkan di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di Hulu Selangor, semalam.
— Gambar Bernama EMPAT PENJURU: Calon-calon yang akan bertanding bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu (dari kiri) Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) diumumkan di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di Hulu Selangor, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia