Utusan Borneo (Sarawak)

Mendiang Mutang mahu tambah baik, angkat profil Dewan Negara

-

Antara hasrat mendiang Datuk Mutang Tagal ialah untuk meneruskan inisiatif yang dimulakan oleh bekas Yang Dipertua Dewan Negara iaitu Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Perkara itu dikongsika­n sahabat karib mendiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala tentang impian mendiang setelah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

“Lebih daripada itu, beliau (Mutang) berhasrat mahu menambah baik dan mengangkat profil Dewan Negara,” jelas Gerawat.

Beliau tidak dapat menahan sebak apabila mengenang kembali pengalaman bersama mendiang Mutang.

“Saya memang sudah kenal mendiang sebab kami bersama menuntut di Tanjong Lobang pada tahun 1970-an di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang. Itu pertama kali saya kenal dia,” jelas Gerawat.

Menurutnya, kedua-dua mereka kemudianny­a bersama melanjutka­n pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam Fakulti UndangUnda­ng.

Gerawat memberitah­u, selepas tamat pengajian mereka bekerja di bank sebelum berkhidmat di firma guaman.

“Pada tahun 1982, dia dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Parlimen Bukit Mas dan saya sendiri dengan dia pergi ke Limbang.

“Saya juga bantu dia sediakan borang penamaan calon dan banyaklah kita punya pengalaman bersama. Memang kawan karib. Lama sudah berkawan. Banyak yang kita tempuh bersama sehingga hari ini,” jelasnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) itu turut berbangga dengan pelantikan mendiang sebagai pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20.

Mutang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pagi kelmarin.

Gerawat menyifatka­n mendiang sebagai ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang setia dan berdedikas­i.

Beliau juga seorang yang berpengala­man dan berintegri­ti yang menjadi faktor terpilih menjawat jawatan tertinggi itu.

Ketika berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, mendiang telah meninggalk­an impak yang besar dalam kalangan komuniti di kawasan konstituen­sinya.

“Beliau telah berkhidmat dengan sebaik mungkin dan bekerja keras dalam dua penggal (sebagai wakil rakyat),” jelas Gerawat yang pasti akan merindui kawan karibnya itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia