Utusan Borneo (Sarawak)

Pemergian Mutang beri kesan besar khasnya kepada komuniti Lun Bawang

-

Pemergian Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal memberi kesan besar buat negara dan Sarawak terutamany­a komuniti Lun Bawang.

Menteri Pelanconga­n, Industri Kreatif dan Seni Persembaha­n Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mendiang telah banyak menyumbang khidmat dalam politik.

“Mutang telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen (MP) dua penggal dan beliau adalah salah seorang daripada pemimpin suku kaum Orang Ulu yang hebat.

“Di Dewan Negara, beliau (mendiang) berada di sana selama tiga bulan sahaja, namun beliau turut menyumbang dalam banyak perkara lain sama ada sebagai AP atau sebagai peguam kerana beliau juga seorang peguam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) 2024 di Aiman Mall di sini, malam kelmarin.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam satu kenyataan rasmi kelmarin mengumumka­n Mutang, 70, menghembus­kan nafas terakhirny­a pada jam 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Sebelum ini, mendiang menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia pada 6 Mei lalu selepas berada di Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

Mendiang meninggalk­an seorang isteri dan tiga orang anak.

Untuk rekod, Mutang yang lahir pada 5 Oktober 1954 telah dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan Mutang yang berasal dari Lawas mencipta sejarah tersendiri, pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia