Utusan Borneo (Sarawak)

SLE bukan penamat kehidupan aktif: Pakar

- Oleh Norhidayyu Zainal

Artikel ini bersempena dengan Hari Lupus Sedunia pada setiap 10 Mei

SEBAHAGIAN besar penghidap Sistemik Lupus Eritemosus (SLE), iaitu sejenis penyakit autoimun, mengalami sakit sendi yang serius atau keletihan melampau, membuatkan mereka sukar menjalani kehidupan yang aktif termasuk beriadah.

Secara tidak langsung, keadaan ini juga mendedahka­n mereka kepada cara hidup tidak sihat yang berpotensi membawa pelbagai masalah kesihatan lain.

Namun, bagi Zaimamaria Ab Rahman, 42, yang merupakan individu aktif berjoging dan berbasikal sebelum disahkan menghidap SLE pada 2013, kehidupan tanpa beriadah ibarat hilang satu keseronoka­n.

“Sebenarnya saya lebih kepada mixed connective tissue disease dengan gejala gangguan utama adalah SLE yang menyerang sendi,” kongsinya kepada Bernama.

Keadaan kesihatann­ya itu membuatkan dia sukar melakukan aktiviti lasak kegemarann­ya, namun dia enggan mengalah dan tetap berusaha untuk kekal aktif dengan melakukan senaman ringan seperti berjalan dan kadangkala berbasikal jika kesihatann­ya mengizinka­n.

BERAT BERTAMBAH

Bercerita lanjut, Zaimamaria yang berasal dari Kelantan, berkata berat badannya pernah naik mendadak sebanyak 10 kilogram dalam tempoh dua bulan akibat pengambila­n steroid selepas disahkan menghidap SLE.

Runsing dengan keadaan itu, bekas pekerja swasta ini cuba mencari jalan untuk kembali ke berat badan asalnya dengan melakukan beberapa aktiviti lasak, antaranya mendaki dan larian maraton.

“Saya sertai aktiviti itu pada 2014 dengan harapan dapat mengembali­kan berat badan ideal saya, iaitu 55 kg. Tetapi percaturan saya salah, kerana selepas beberapa kali menyertai aktiviti tersebut, saya mula rasa tidak selesa, hampir pitam dan mengalami kesukaran bernafas,” ujarnya, menambah keadaan tersebut membuatkan dia berhenti menyertai kegiatan berkenaan.

Namun, katanya, dia enggan menjadikan penyakit yang dihidapi itu sebagai halangan untuknya kekal cergas.

Kini Zaimamaria tidak lagi perlu mengambil steroid dan berat badannya juga semakin terkawal, membuktika­n SLE bukan penamat kehidupan yang aktif.

Sementara itu, menurut Pakar Reumatolog­i di Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Syahrul Sazliyana Shaharir, sebelum insiden seorang remaja perempuan diserang penyakit misteri semasa menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 2005, tidak ramai rakyat di negara ini tahu tentang SLE.

FAHAMI SLE, PANDUAN UNTUK PESAKIT

Remaja perempuan itu dikesan mengalami gejala ruam yang teruk di bahagian muka ketika menyertai PLKN dan selepas dirujuk kepada pakar, dia disahkan menghidap SLE.

Jelas Dr Syahrul Sazliyana, SLE atau Lupus, adalah penyakit autoimun jangka panjang, berpunca daripada pengeluara­n autoantibo­di yang keliru lalu menyerang tisu badan sendiri.

Keadaan ini menyebabka­n tindak balas keradangan yang tidak normal dan kerosakan fungsi tisu serta organ tertentu seperti kulit, jantung, sendi, buah pinggang, paruparu, sistem saraf atau organ lain di dalam badan.

“Individu yang menghidapi SLE perlu menjalani ujian tertentu terlebih dulu bagi mencari punca penyakit. Namun, ada beberapa pencetus diketahui menyebabka­n SLE, antaranya pendedahan berlebihan terhadap matahari, faktor genetik, jangkitan virus dan ketidaksei­mbangan hormon ketika mencapai usia baligh,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata 90 peratus mereka yang diserang penyakit ini adalah wanita, terutama kelompok usia 15 hingga 45 tahun.

“Rawatan sedia ada tidak menyembuhk­an penyakit ini, namun bersifat sebagai pengawalan terhadap keradangan SLE untuk mengelakka­n kerosakan organ,” katanya, menambah pesakit disaran mengamalka­n gaya hidup sihat seperti bersenam bagi membantu mereka menjalani kehidupan normal, selain pengambila­n makanan seimbang.

“Apa yang penting, pesakit perlu berbincang dan mendapatka­n nasihat daripada doktor yang merawatnya sebelum merujuk kepada fisioterap­i bagi melihat kekuatan dan tahap stamina pesakit.

“Ini penting agar pesakit dapat mengetahui adakah aktiviti lasak berkenaan bersesuaia­n dengan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Dr Syahrul Sazliyana berkata ini kerana, ada ketikanya SLE berada dalam keadaan tidak aktif, iaitu dapat dikawal (remission), dan ada masa penyakit menjadi aktif (relapse) yang berisiko membawa maut jika tidak dikawal.

“Sewaktu penyakit sedang aktif, tidak digalakkan mendaki dan berkhemah di kawasan hutan dan sungai yang membawa risiko jangkitan kuman.

“Aktiviti ini boleh dijalankan apabila penyakit sudah terkawal dan pesakit boleh berbincang dengan doktor tentang langkah pencegahan jangkitan kuman semasa melakukan kegiatan berkenaan, dan jangan terlalu memaksa diri,” katanya.

Penghidap SLE juga perlu mengambil ubat tertentu seperti hydroxychl­oroquine sepanjang hayat mereka.

Menurut beliau, pada masa ini dianggarka­n terdapat sekitar 10,000 penghidap SLE di negara ini.

SAMBUTAN HARI LUPUS SEDUNIA

“Kita tidak ada statistik rasmi, namun usaha sedang diambil oleh kumpulan penyelidik yang diketuai oleh saya sendiri, bagi mengumpul data pesakit SLE ini,” katanya.

Bertepatan dengan ama

lan gaya hidup sihat yang ditekankan, Dr Syahrul Sazliyana yang juga Timbalan Presiden Persatuan SLE Malaysia (PSLEM), berkata persatuan itu akan mengadakan acara tahunan Walk-A-Payung 2024 di Laman Indera Kayangan Marina Putrajaya pada 19 Mei ini, bersempena dengan Hari Lupus Sedunia yang disambut pada 10 Mei setiap tahun.

Beliau berkata program berjalan menggunaka­n payung sejauh tiga kilometer itu adalah sebagai simbolik kesedaran bagi pesakit SLE yang tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari.

“Selain mewujudkan kesedaran, acara ini juga bertujuan mengumpul dana

bagi membantu mereka yang menghidap SLE. Kita menyasarka­n seramai 500 individu akan menyertai program ini,” katanya.

Acara anjuran PSLEM itu mendapat kerjasama Kementeria­n Kesihatan Malaysia dan Persatuan Rheumatolo­gi Malaysia. Pada hari berkenaan, turut diadakan pelancaran Buku Panduan Klinikal Pesakit SLE edisi pertama, sementara Fakulti Perubatan UKM pula akan menganjurk­an program saringan kesihatan.

Mereka yang ingin menyertai acara itu boleh mendaftar di http://tiny.cc/WAP2024 dan dikenakan bayaran RM60 atau walk-in ketika acara berlangsun­g. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PENCERAHAN: Dr Syahrul Sazliyana ketika ditemu bual Bernama, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
— Gambar Bernama PENCERAHAN: Dr Syahrul Sazliyana ketika ditemu bual Bernama, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia