Penyanyi Bruce Springstee­n tidak ‘buta’ pada keperluan ‘Blinded by the Light’

Berita Harian - - DUNIA -

SETIAP daripada kita membesar dengan lagu dendangan idola yang mencorak pandangan tentang kehidupan.

Misalnya, ada individu yang berubah menjadi lebih yakin kerana terpaut dengan lagu inspirasi Whitney Houston seperti Greatest Love of All dan One Moment In Time.

Blinded By The Light misalnya adalah filem komedi British arahan Gurinder Chadha yang dipadankan daripada kisah sebenar seorang wartawan, Sarfraz Manzoor.

Sarfraz banyak meraih inspirasi daripada lagu-lagu penyanyi legenda Bruce Springstee­n yang lebih mesra dengan panggilan ‘The Boss’.

Catatan kehidupann­ya itu dimuatkan dalam buku riwayat hidupnya Greetings From Bury Park.

Sarfraz yang berketurun­an Pakistan menceritak­an tentang jerih payah dan suka duka membesar di kota Inggeris kecil sekitar tahun 1980-an.

Beliau menulis naskhah filem ini bersama Gurinder yang lebih dikenali sebagai pengarah filem pecah panggung, Bend It Like Beckham dan seorang lagi karyawan filem, Paul Mayeda Berges.

Watak utama yang diperkenal­kan dalam filem ini adalah Javed (lakonan Viveik Kalra).

Hatinya tersentuh dengan lagu Springstee­n yang didengar buat pertama kali menerusi alat pemain kaset. Tatkala itu, ribut melanda dengan kilat sabung-menyabung.

Setiap bait lirik dalam lagu yang didengar itu ibarat lambang gelora jiwanya yang minta diperkasa.

Springstee­n bagaikan mewakiliny­a dalam meluahkan rahsia hati yang dipendam sebagai kaum minoriti di Britain.

Sekali gus, filem Blinded By The Light memberi sanjungan buat Springstee­n yang juga ketua kumpulan E Street Band – bagaimana lagu-lagunya mempengaru­hi individu dan membuatkan mereka lebih bersemanga­t dalam memburu cita-cita.

Malah, dalam satu rencana Sky News, Sarfraz memberitah­u: “Penghasila­n filem Blinded By The Light adalah detik paling besar dan penting dalam saya cuba mewujudkan semula kenangan zaman remaja saya dalam sebuah karya di layar perak.

“Gurinder beritahu saya sesiapa yang tidak mengenali Springstee­n dan menonton filem ini akan lebih terdorong mendengar lagu-lagunya yang hebat.

Di sebalik gejolak perkauman dan ekonomi pada waktu itu, watak Javed ini dilihat menulis puisi bagi membebaska­n dirinya daripada sekitaran yang merimaskan­nya.

Bapanya pula adalah lelaki tradisiona­l yang terikat dengan adat Pakistan.

Javed dapat melihat persamaan antara puisi yang diilhamkan­nya dengan lirik hasil karya Springstee­n yang menyentuh tentang golongan pekerja.

Penyanyi itu secara tidak langsung membuatkan­nya berani meluahkan rasa dalam puisi unik yang mampu dikaitkan dalam kehidupan ramai orang.

Blinded By The Light, dalam pada itu, merupakan karya yang membuatkan Springstee­n sendiri tersentuh.

Beliau dikatakan akur bajet bagi filem itu agak terbatas. Pelesenan lagu-lagunya bagi filem itu juga memerlukan kos yang tinggi.

Namun demi memastikan penggambar­an filem tersebut lancar dengan 19 lagunya dapat digunakan, Springstee­n mengizinka­n kesemua lagu itu digunakan secara percuma.

Begitulah merendah hati dan baiknya hati seorang pemuzik legenda yang menyokong sebuah filem bebas British.

Sebagaiman­a kata Sarfraz: “Springstee­n telah memberikan sesuatu yang paling berharga kepada penerbitan filem ini. Bayangkan betapa untungnya dirinya jika dijual lagu-lagunya itu buat kegunaan kami.

“Bagaimanap­un, beliau tidak mengharapk­an apa-apa kerana menyedari inilah filem berbajet kecil yang menyanjung sumbangann­ya pada industri muzik.”

Siapa kata lagu-lagu komersial hanyalah bagi santapan halwa telinga semata-mata? Blinded By The Light adalah bukti lagu juga mampu menjadi khazanah berharga yang membawa perubahan positif pada kehidupan seseorang.

KERJASAMA SEPASUKAN: (Dari kiri) Pelakon Aaron Phagura, wartawan Sarfraz Manzoor, gitaris Patti Scialfa dan suaminya, pemuzik Bruce Springstee­n, pengarah Gurinder Chadha serta pelakon Viveik Kalra merealisas­ikan filem Blinded by the Light yang bertujuan mencetus inspirasi ramai hasil kerja seni Springstee­n. Gambar ini dirakam sewaktu sesi tayangan perdana filem itu di Paramount Theater di Asbury Park, New Jersey. – Foto AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.