Dua lelaki disyaki pesalah dadah diberkas miliki pistol

Berita Harian - - MUKA DEPAN - IRMA KAMARUDIN [email protected]

DUA lelaki warga Singapura yang disyaki pesalah dadah telah ditangkap berhubung kesalahan berkaitan senjata api, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) semalam.

Dalam satu sidang media, dua agensi penguatkua­saan itu berkata mereka telah menangkap dua lelaki berusia 24 tahun dan 25 tahun dalam satu operasi bersama yang dijalankan kelmarin dan semalam.

Pengarah Divisyen Perisikan CNB, Superinten­den Aaron Tang, berkata pihaknya telah bertindak atas maklumat yang diterima bahawa dua suspek itu terlibat dalam “kegiatan dadah haram”, dengan salah seorang daripada mereka memiliki senjata api.

Polis telah menerima maklumat daripada CNB kelmarin yang menunjukka­n bahawa lelaki berusia 24 tahun itu memiliki senjata api.

Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan CNB, dengan sokongan Komand Operasi Khas (SOC) dan Jabatan Perisikan Polis (PID), dengan segera menjalanka­n operasi bersama dan melaksanak­an risikan meluas.

Polis dan CNB memberkas lelaki itu di kolong blok kediamanny­a di Jurong West Street 72, Selasa lalu.

Para pegawai kemudian membawa lelaki itu ke unit kediamanny­a dan melakukan pencarian, di mana mereka menemui senjata api tersebut.

Tiada dadah ditemui.

Terdapat empat peluru yang diisi dalam pistol dan pegawai juga menemui empat peluru lain.

Dalam sidang media itu, Timbalan Ketua, Seksyen Siasatan Khas CID, Superinten­den Daniel Wong, berkata:

“Tiada petunjuk bahawa senjata itu telah digunakan di Singapura”.

Lelaki kedua yang berusia 25 tahun ditangkap di Woodlands Street 13 pada sekitar 2.25 pagi semalam selepas siasatan lanjut mendedahka­n dia disyaki terus bersama lelaki pertama meskipun dia tahu lelaki itu memiliki senjata api.

Tiada dadah ditemui bersama keduadua lelaki itu dan mereka kini sedang menunggu hasil ujian air kencing.

Mereka dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini, dengan lelaki pertama akan dikenakan satu tuduhan memiliki senjata api secara haram manakala lelaki kedua dikenakan satu tuduhan bersubahat dengan individu memiliki senjata api itu.

Kes pemilikan senjata api ini difahamkan yang pertama sejak 2009, di mana seorang lelaki berusia 42 tahun didapati bersalah kerana menyimpan pistol semi-automatik yang diberi kepadanya oleh seorang rakan.

Superinten­den Wong berkata Singapura mempunyai undang-undang kawalan senjata api ketat yang melarang sesiapa daripada mengimport, mengekspor­t, memiliki atau membuat senjata api tanpa lesen Senjata Api dan Bahan Letupan.

“Pemilikan senjata api secara haram adalah satu kesalahan serius dan polis akan berusaha gigih dalam mengejar penjenayah sedemikian untuk membawa mereka ke muka pengadilan,” kata beliau.

Sesiapa yang didapati bersalah memiliki sebarang senjata api atau peluru secara haram boleh dikenakan hukuman penjara antara lima dengan 10 tahun, serta sebat sekurang-kurangnya enam kali.

SENJATA API DITEMUI: Seorang lelaki berusia 24 tahun ditangkap kerana memiliki pistol dalam satu operasi bersama polis dan CNB kelmarin. Satu lagi lelaki berusia 25 tahun turut ditangkap selepas siasatan lanjut mendedahka­n dia disyaki bersama lelaki pertama itu meskipun dia tahu lelaki itu memiliki senjata api. – Foto SPF

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.