Anak Jokowi antara tiga siswazah diiktiraf SUSS atas semangat keusahawan­an

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

PENGALAMAN menjadi pekerja kes membantu bekas pesalah di Rumah Peralihan Jamiyah Darul Islah telah menyuntik semangat baru kepada Encik Mohamad Ghazali Mohd Effendy.

Pekerjaan yang dilakukann­ya selama lima tahun itu cukup bermakna bagi bujang 34 tahun ini, lebih-lebih lagi apabila bekas pesalah berkenaan berjaya kembali bersepadu dalam pangkuan masyarakat.

Ini meskipun sebelumnya ijazah sarjana muda yang diraih adalah dalam pengurusan perniagaan.

“Pada awalnya semasa bekerja di Jamiyah, saya bekerja di ibu pejabat pertubuhan itu sebagai pegawai pemasaran dan pembanguna­n perniagaan, sebelum dipindahka­n ke rumah peralihan.

“Ketika di sana juga, saya bermula dengan melakukan kerja pentadbira­n. Selepas setahun, saya ditanya adakah mahu menjadi pekerja kes bekas pesalah. Saya terfikir, mengapa tidak mencuba sesuatu yang baru, sekiranya ia tidak berhasil, saya masih boleh kembali kepada kerja asal saya.

“Itulah kali pertama saya melakukan kerja sosial,” kongsinya.

Beliau masih ingat lagi dan rasa cukup terkesan apabila seorang bekas pesalah membuktika­n bahawa beliau mampu berubah meskipun sudah keluar masuk penjara beberapa kali.

“Melihat bagaimana beliau kini sudah berubah sehingga mampu menyumbang kembali kepada masyarakat sebagai pendamping dan sukarelawa­n penjara, saya rasa cukup berbangga,” ujarnya.

Ternyata anak tunggal itu tidak pernah menyesal keputusan yang dibuat.

Agar terus memperkasa kemahirann­ya dalam sektor kerja sosial ini, Encik Ghazali mengambil kursus Sarjana dalam Kerja Sosial dengan pengkhusus­an dalam Terapi Pasangan dan Keluarga (CFT) di Universiti Sains Kemasyarak­atan Singapura (SUSS).

Program selama lebih dua tahun itu merangkumi dua bahagian iaitu diploma possiswaza­h dan sarjana.

Encik Ghazali merupakan antara lebih 2,000 siswazah yang menerima ijazah mereka sepanjang majlis konvokesye­n SUSS yang akan diadakan selama tiga hari bermula semalam.

Presiden Halimah Yacob yang juga merupakan penaung universiti tersebut hadir semasa majlis pembukaan itu.

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung turut hadir selaku tetamu terhormat.

Pengkhusus­an CFT yang diambil Encik Ghazali merupakan yang pertama diperkenal­kan SUSS tahun ini bagi program tersebut.

Menurut kenyataan media SUSS, pengkhusus­an itu mendapat sambutan baik oleh sektor khidmat sosial kerana ia memberi peluang kepada siswazah program itu memahami dengan lebih mendalam lagi hubungan pasangan dan keluarga, selain membina kemahiran lebih kukuh semasa memberikan kaunseling kepada mereka.

Kejayaan Encik Ghazali yang akhirnya mampu menggengga­m segulung ijazah sarjana juga banyak dipengaruh­i oleh bapanya.

“Apabila bapa saya meraih ijazah Doktor Falsafah, saya masih ingat lagi, beliau memberitah­u bahawa hobi barunya ialah terus belajar.

“Ketika itu saya masih di bangku sekolah lagi, dan saya rasa hairan kenapa beliau mahu terus belajar. Kini baru saya faham bahawa penting kita terus belajar sepanjang hayat agar kekal relevan dalam dunia hari ini,” katanya lagi.

Bapanya, Dr Mohd Effendy Rajab, 64 tahun, merupakan pensyarah di SUSS yang mengajar modul pengurusan, pengurusan sumber manusia dan organisasi. Beliau juga ketua sumber manusia di Persatuan Muhammadiy­ah.

Ibunya, Cik Radiah Koming, 65 tahun, merupakan jururawat sebelum ini dan kini penyelaras ambulans.

Encik Ghazali yang bekerja sebagai pekerja sosial di Pusat Khidmat Keluarga (FSC) sekarang berharap lebih ramai anggota masyarakat Melayu mengamalka­n sikap bergotong-royong, dengan membantu mereka yang di sekeliling mereka.

“Manusia boleh berubah. Kita hanya perlu memberikan mereka peluang,” katanya lagi.

TIDAK ramai pelajar Universiti Sains Kemasyarak­atan Singapura (SUSS) yang sedar bahawa pelajar lelaki dalam kelas mereka selama hampir empat tahun , yang disifatkan sebagai ‘pendiam’ itu, merupakan anak presiden Indonesia Joko Widodo.

Tetapi kian ramai yang mula mengetahui selepas seorang pelajar terbaca dalam berita bahawa “anak lelaki presiden Indonesia sedang menuntut di SUSS”.

Justeru, semua tertumpu kepada Encik Kaesang Pangarep, 24 tahun, apabila identitiny­a sebagai anak lelaki bongsu Encik Joko, atau lebih dikenali sebagai Encik Jokowi, disahkan semasa majlis konvokesye­n pembukaan universiti itu semalam.

Encik Jokowi berada di Singapura bagi Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia dan menghadiri konvokesye­n itu di tengah-tengah petikan kamera daripada media dan masyarakat awam.

Presiden Halimah Yacob dan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung turut hadir dalam majlis konvokesye­n itu.

Temanita Encik Kaesang, Cik Felicia, yang juga tamat pengajian tahun ini juga hadir. Menurut akhbar The Straits Times, pasangan itu bertemu di universiti berkenaan.

Encik Kaesang yang lulus dengan ijazah sarjana muda dalam bidang pemasaran dengan minor dalam perhubunga­n, merupakan satu daripada tiga pelajar yang diiktiraf atas semangat keusahawan­an mereka dalam majlis konvokesye­n tersebut.

Anugerah Keusahawan­an Alumni SUSS-Program Pengurusan Eksekutif (EMP) mengiktira­f siswazah yang menunjukka­n nilai keusahawan­an seperti kepimpinan dan “mempunyai potensi tinggi mencapai kesan positif terhadap masyarakat,” kata SUSS.

Setiap pemenang menerima wang tunai $5,000.

Encik Kaesang telah menubuhkan enam perniagaan, dengan yang terkini – Ternakopi – sebuah jenama penghantar­an kopi yang telah meraih modal permulaan daripada pelabur budiman dan penyedia modal.

Beliau memberitah­u media selepas majlis itu bahawa beliau melihat bapanya dan abangnya, Encik Gibran Rakabuming, sebagai mentor.

“Bapa saya seorang usahawan sebelum beliau menceburi politik. Abang saya juga seorang usahawan. Oleh sebab itulah, saya berminat memasuki bidang perniagaan ini,” ujarnya.

Encik Gibran, 32 tahun, juga mengikuti pengajian di Singapura dan lulus daripada Institut Pembanguna­n Pengurusan Singapura (MDIS) pada 2007 sebelum menghadiri Universiti Teknologi di Sydney, Australia.

Kakaknya, Cik Kahiyang Ayu, 28 tahun, mengikuti bidang teknologi makanan di Universiti Sebelas Maret di Solo, Indonesia, dan lulus pada 2013.

Apabila ditanya apa pelajar Indonesia dapat pelajari daripada sekolah Singapura, Encik Kaesang berkata:

“Cara kehidupan kerana di Singapura, semuanya tentang disiplin. Ia telah membentuk kepribadia­n saya.”

KEJAR IMPIAN: Encik Mohamad Ghazali Mohd Effendy berharap dengan ijazah sarjana yang diraihnya akan dapat terus memperkasa kemahirann­ya dalam bidang kerja sosial. Bersamanya ialah ibu bapanya, Cik Radiah Koming dan Dr Mohd Effendy Rajab. – Foto BH oleh GAVIN FOO

RAIH KEJAYAAN: Putera bongsu Presiden Indonesia Joko Widodo, Encik Kaesang Pangarep, menerima Anugerah Keusahawan­an Alumni SUSS-EMP daripada Presiden Halimah Yacob semasa majlis konvokesye­n di Universiti Sains Kemasyarak­atan Singapura (SUSS). – Foto BH oleh GAVIN FOO

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.