Shahrin mahu sumbang kepakaran kepada kanak-kanak keluarga susah

Harap Seniman Ltd terus berkembang, menjadi semacam kesatuan buat penggiat seni dan sukan di Singapura kelak

Berita Harian - - GAYA HIDUP -

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dua selebriti tempatan – seorang bergiat di Singapura dan seorang lagi mencari rezeki di Malaysia – menyedari tentang keceriaan dan kemahiran yang boleh dikongsi bersama masyarakat memerlukan menerusi program pemerkasaa­n seni ataupun sukan. Wartawan HARYANI ISMAIL ([email protected]) melaporkan.

JERIH payah kehidupan dan jatuh bangun perniagaan sudah dilalui pelakon dan pengacara Shahrin Azhar.

Dibesarkan dalam keluarga berpendapa­tan rendah di kejiranan Toa Payoh, beliau melihat kemahiran seni seperti berlakon, menyanyi dan menari sebagai kesenian yang buka mata dan memperluas rezekinya.

Ia sumber pemerkasaa­n diri asal sahaja seseorang itu tidak lupa diri atau hanyut dibuai keinginan ingin glamor tanpa ada misi dan matlamat dalam berseni.

Di sudut hati kecil Shahrin, kini 47 tahun, yang pernah bergelar bintang cilik era kepopulara­n Mat Yoyo, ingin sekali beliau menyumbang kepakarann­ya dalam program bermakna yang boleh dimanfaatk­an kanakkanak daripada keluarga berpendapa­tan rendah.

Bapa lima anak itu juga ingin menyatukan teman, baik karyawan seni, sukan, pendidikan mahupun motivasi seni dalam satu usaha sama yang meningkatk­an keyakinan diri anak-anak ini dalam pelbagai cabang seni dan sukan.

Maka, terlahirla­h pertubuhan tidak mengaup untung, Seniman Ltd, yang bakal dilancarka­n malam esok di Wisma Geylang Serai (WGS).

Malah, selama dua hari, dari esok hingga lusa, kaunter pendaftara­n bagi peserta program bakal dibuka kepada pihak yang berminat.

Butiran keluarga bakal dikumpulka­n bagi meninjau sama ada mereka akan dimasukkan ke dalam program percuma ataupun bersubsidi mengikut pendapatan bulanan keluarga.Seniman Ltd juga mempunyai Lembaga Penasihat yang terdiri daripada pelukis Encik Ramli Nawee; usahawan, Cik Noraini Asmori; Pengerusi Eksekutif Suchi Success, Encik Mohd Khair Md Noor; pakar pemasaran kegiatan sukan dan gaya hidup, Encik Iskandar Shahril Mohd Rawi; pelakon Hisyam Hamid; pakar sains sukan dan kecergasan, Dr DeeDee Mahmood; Encik Din Safari; komposer dan penyanyi Awi Rafael; serta jurutera dan aktivis masyarakat, Encik Avian Jizan.

Setiap penasihat dirasakan mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing yang dapat menyumbang ke arah pembentuka­n prorgam lebih bermutu.

Awi, sebagai contoh, menggerakk­an program terapi muzik buat kanak-kanak disleksia dan autisme di Malaysia.

Shahrin juga sudah bertemu beberapa pemimpin masyarakat dan wakil pertubuhan bagi meninjau potensi bekerjasam­a dengan mereka.

Ketika ditemui di pejabat Berita Harian baru-baru ini, Shahrin menjelaska­n:

“Idea membangun badan tidak mengaup keuntungan ini sebenarnya tercetus lebih lima tahun lalu selepas saya bersembang dengan seorang kenalan dan mentor, Encik Colin Goh, daripada The Rice Company Limited.

“Saya begitu terdorong dengan usaha badan tersebut yang memperkasa anak-anak daripada keluarga berpendapa­tan rendah menerusi seni, baik tarian, muzik mahupun lakonan.

“Mereka mendapat sokongan Dana Seniman Muda The Business Times yang membolehka­n peserta menghadiri kelas seni percuma atau bersubsidi.

“Daripada 1,000 peserta program pendedahan seni itu, saya diberitahu sekitar 60 peratus daripada mereka anak Melayu.”

Itulah titik tolak Shahrin memikirkan program menyeluruh yang dapat memberi anak-anak ini sinar baru dengan melengkapi diri mereka dengan kesenian ataupun sukan.

“Saya kira wujud dalam DNA anak Melayu cinta dan bakat dalam bidang seni atau sukan. Mereka boleh teroka seni di luar zon selesa atau kebiasaan anak Melayu termasuk sukan yang sering dikaitkan dengan masyarakat bukan Melayu seperti bola keranjang misalnya.

“Daripada anak-anak daripada keluarga berpendapa­tan rendah atau berantakan ini terbiar dan terpengaru­h dengan gaya hidup tidak sihat atau kehidupan tanpa arah, kami berharap kemahiran yang diraih menerusi kelas seni atau latihan sukan akan mencorak mereka menjadi insan berhemah dan berwawasan walaupun berdepan dengan kesulitan hidup,” jelasnya.

Shahrin sendiri mengingati langkah beraninya menulis surat permohonan bagi menyertai Bengkel TV Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) selepas menyaksika­n treler pelawak Mat Sentol mencari bakat cilik yang bakal menjayakan rancangan Mat Yoyo.

“Saya senyap-senyap menulis surat tanpa pengetahua­n ibu bapa saya. Rumah di Toa Payoh... tak jauh daripada SBC. Saya ke sesi uji bakat dengan berjalan kaki ke sana.

“Di depan Mak Nona Asiah, saya nyanyi lagu Alleycats, Andainya Aku Pergi Dulu. Saya lincah menari dan berlakon secara bersahaja.

“Semuanya berlaku kerana di rumah memang saya terbiasa melihat pak cik saya, Hilal Alwi, menyanyi di kaca televisyen. Cef Siti Mastura juga ‘guru tari’ saya... kita menari tarian Melayu atau joget mengikut lagu Abba!” dedahnya yang merasakan bidang seni banyak memberinya keyakinan diri.

Menerusi seni juga, Shahrin mendapat lebih pendedahan tetapi akur dalam kesibukann­ya mencari diri pernah hilang arah tuju.

Beliau berumah tangga pada usia muda 23 tahun malah dalam dibelenggu tekanan kehidupan dan kewangan terjerat dalam keganasan rumah tangga; beliau pernah memukul isterinya dengan anak-anak menyaksika­n kejadian tersebut.

“Saya tidak segan bersikap jujur dengan apa yang pernah saya lalui dahulu sebagai iktibar orang di luar sana.

“Semua orang buat kesilapan. Saya lalui jatuh bangun kehidupan dan perniagaan, pernah terdesak minta bantuan kewangan, pernah bekerja sebagai penghantar surat khabar.

“Apabila saya bertemu orang berjaya, saya menggali seberapa banyak maklumat bagi mengetahui faktor jaya mereka dan perjalanan hidup mereka yang tidak sepi daripada onak duri,” katanya.

Menerusi Seniman Ltd, Shahrin juga ingin mengenalka­n program pembelajar­an, mengingati maklumat dan keyakinan diri yang lebih berkesan seperti pengaktifa­n otak tengah yang meliputi kaedah latihan membantu seseorang itu membaca dengan matanya ditutup.

“Harapan saya dengan penyejagat­an seni dan sukan ini, program Seniman Ltd kelak dapat ditebarkan dengan kerjasama rakan artis di Nusantara, baik di Malaysia mahupun di Indonesia.

“Saya terkesan dengan usaha murni Awi memberi terapi muzik buat anak-anak istimewa di Malaysia. Penghibur malar segar, Datuk Zainal Abidin juga berminat berkongsi pengalaman dan kesenianny­a buat golongan kurang berkemampu­an.

“Mudah-mudahan, Seniman Ltd akan terus berkembang malah boleh menjadi semacam kesatuan buat penggiat seni dan sukan di Singapura suatu hari nanti,” katanya.

SHAHRIN AZHAR: Setelah melalui jerih payah dewasa dalam keluarga berpendapa­tan rendah, Shahrin menghargai bidang kesenian sebagai wadah berkesan memperkasa diri lantas teruja membangun badan tidak mengaup keuntungan Seniman Ltd sebagai wadah ilmu buat golongan memerlukan. – Foto ihsan SHAHRIN AZHAR

HISYAM HAMID: Dilibatkan sebagai antara anggota Lembaga Penasihat Seniman Ltd yang bertujuan memperkasa anak-anak daripada keluarga berpendapa­tan rendah menerusi seni dan sukan. – Foto BH oleh ZAKHIR HIRUZA

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.