Pencuri jam Rolex dikenakan hukuman latihan pemulihan, tiga sebatan rotan

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SEORANG penyalah guna dadah yang menerjah masuk rumah orang semasa melarikan diri daripada polis setelah mencuri jam tangan Rolex, telah dijatuhi hukuman latihan pemulihan (CT) lima tahun dan tiga sebatan rotan, semalam.

Mohamed Fazulla Mohamed Khan telah mengugut seorang wanita di flat Pasir Ris dengan sebilah pisau, dan mengurung wanita itu di bilik mandi sekitar satu setengah jam pada 21 Mac 2016.

Fazulla, seorang penyelia pembersiha­n, akhirnya membebaska­n wanita berusia 23 tahun itu dan menyerah diri kepada polis pada 7.20 malam.

Fazulla, 36 tahun, mengaku bersalah awal tahun ini bagi sembilan tuduhan termasuk mencuri, ugutan jenayah, dan penggunaan dadah.

Dia, yang mempunyai sabitan kesalahan dadah sebelum ini, dijatuhi hukuman CT selama lima tahun dan tiga sebatan rotan semalam.

CT ialah hukuman yang dikenakan ke atas pesalah berulang dan pesalah itu tidak layak menerima pengampuna­n sepertiga tempoh hukuman bagi tingkah laku baik.

Pada 16 Mac 2016, Fazulla telah ke kedai jam tangan di Thomson dan mencuri jam tangan Rolex Datejust bernilai $3,300 yang dipamerkan di kedai itu.

Lima hari kemudian menyusuli satu siasatan, polis memutuskan untuk menyerbu Fazullah di sebuah blok di Pasir Ris. Dia dilihat berada di tangga blok itu pada sekitar 3 petang, tetapi melarikan diri apabila ternampak polis, sebelum menerjah masuk flat seorang wanita di tingkat empat, yang pagarnya tidak dikunci.

Fazulla mengambil pisau sepanjang 12.5 sentimeter dari dapur dan mengetuk pintu bilik air.

Wanita itu, yang berada di dalam bilik air tersebut, membuka pintu dan terkejut melihat tertuduh.

Fazulla kemudian mengurung wanita itu selama satu setengah jam sebelum menyerahka­n diri kepada polis.

Dia diberi ikat jamin tetapi kemudian melakukan beberapa lagi kesalahan mencuri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.