Jumlah perkahwinan Muslim naik, kadar perceraian merosot

Hampir seperempat jumlah perkahwinan secara umum libatkan berlainan kaum

Berita Harian - - BERITA -

LEBIH ramai pasangan telah mengikat tali perkahwinan tahun lalu dengan perkahwinan antara pasangan berlainan kaum membentuk hampir seperempat daripada 28,212 perkahwinan yang berdaftar.

Menurut laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian 2017 yang dikeluarkan Jabatan Statistik Singapura (DOS) semalam, sekitar 22.1 peratus daripada jumlah keseluruhan perkahwinan tahun lalu merupakan perkahwinan melibatkan pasangan berbilang kaum.

Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa jumlah tersebut sekali gus menunjukkan trend perkahwinan sedemikian yang terus meningkat, daripada 16.4 peratus pada 2007.

Jumlah perkahwinan meningkat sebanyak 0.9 peratus tahun lalu berbanding 27,971 pada 2016, disebabkan peningkatan dalam perkahwinan sivil dan Islam.

Kadar umum perkahwinan bagi kedua-dua kaum lelaki dan wanita yang belum berumah tangga turut menyaksikan peningkatan.

Sementara itu, bilangan pasangan yang bercerai tahun lalu pula merosot sedikit berbanding tahun sebelumnya.

Manakala sekitar 7,578 perkahwinan berakhir dengan perceraian atau pembatalan – turun 0.5 peratus berbanding jumlah perceraian sebanyak 7,614 pada 2016.

Ini disebabkan oleh kemerosotan dalam perceraian pasangan Islam, yang lebih daripada mengimbangi perceraian sivil yang meningkat sedikit.

Kadar perceraian umum turut merosot.

Tahun lalu, bagi setiap 1,000 lelaki berusia 20 tahun dan ke atas yang berumah tangga, kadar bagi mereka yang bercerai adalah sebanyak 6.9 lelaki – lebih rendah daripada kadar 7.1 pada 2016.

Kadar perceraian umum bagi kaum wanita pun begitu juga.

Bagi setiap 1,000 wanita berusia 20 tahun dan ke atas yang berumah tangga, kadar bagi mereka yang bercerai adalah sebanyak 6.5, lebih rendah daripada kadar 6.6 pada tahun sebelumnya.

Perangkaan tersebut juga menunjukkan bahawa lebih ramai wanita berkahwin pada usia lebih lewat sepanjang sedekad lalu.

Usia median untuk pengantin wanita kali pertama ialah sekitar 28.4 tahun tahun lalu – satu kenaikan daripada 27.2 tahun pada 2007.

Ini telah membantu mengurangkan jarak usia antara pasangan, dengan usia median pengantin lelaki kali pertama agak stabil sejak 2007.

Usia median itu turun daripada 30.3 tahun pada 2016 kepada usia 30 tahun tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak sedekad lalu, bilangan tuntutan perceraian antara kededua lelaki dan wanita yang lebih berusia meningkat.

Usia median bagi duda tahun lalu ialah 43.2 tahun berbanding 39.8 tahun pada tahun 2007, manakala usia median janda pula ialah 39.1 tahun pada 2017, berbanding 36.1 tahun pada 2007.

Tempoh median perkahwinan pasangan sebelum mereka bercerai didapati lebih tinggi tahun lalu dengan sekitar 10.3 tahun – meningkat daripada 9.6 tahun pada 2007.

Tahun lalu, pasangan yang bercerai didapati hanya dapat mengekalkan tempoh berkahwinan selama lima hingga sembilan tahun.

Golongan tersebut membentuk kumpulan terbesar bagi semua kes perceraian merangkumi sekitar 30.2 peratus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.