Sistem penyejukan, tenaga AI mungkin bagi flat di Tengah

Berita Harian - - BERITA -

BAKAL penduduk bandar baru Tengah mungkin akan mempunyai pilihan menggunakan sistem penyejukan pusat bagi flat mereka pada masa akan datang.

Demikian hasil satu kajian bersama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dengan pengendali khidmat elektrik SP Group.

Penduduk boleh memilih mendapatkan khidmat yang disifatkan sebagai lebih menjimatkan tenaga berbanding sistem hawa dingin biasa, kata HDB.

Terdapat 30,000 flat akan dibina di Tengah.

SP Group dan HDB menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di Puncak Bandar Sedunia (WCS) semalam bagi kajian setahun mulai bulan ini.

Mereka juga akan mempertimbangkan sama ada Tengah boleh dibangunkan sebagai Bandar Tenaga Bijak pertama HDB dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) misalnya.

Sistem AI “akan menggunakan kawalan pintar, sensor dan algoritma untuk mengintegrasikan pelbagai huraian tenaga dengan cara yang tersusun bagi menghasilkan kecekapan dan penjimatan tenaga,” kata SP Group dalam satu kenyataan.

Kajian di Tengah pula akan “melibatkan pembangunan dan menguji peralatan sistem perisian tenaga terpusat, seperti ‘otak’ yang akan mengumpul, memproses, menganalisis dan mempelajari data tentang penggunaan tenaga di bandar, kejiranan dan tingkat apartmen”, kata HDB dalam kenyataannya.

Bergelar Tenaga Pintar Concierge, ia bertujuan membolehkan model pengurusan tenaga yang lebih cekap dan mampan.

Sistem itu akan disambungkan kepada grid tenaga, sistem penyimpanan tenaga dan penjanakuasa solar photovoltaics.

Sebagai contoh, jika terdapat bekalan elektrik terputus di blok perumahan, lampu jalan dan lampu isyarat, tenaga boleh disalurkan ke tapak yang terjejas dari sumber grid, sistem penyimpanan tenaga dan penjanakuasa solar PV.

HDB juga telah menandatangani dua perjanjian lain semalam dengan firma ISO Landscape untuk membangunkan sistem solar terapung marin pantai, dan dengan Robin Village Development untuk menyelidik penggunaan percetakan konkrit 3D untuk mengembangkan keupayaan reka bentuk dan pembinaan HDB.

Ketua Pegawai Eksekutif HDB Cik Cheong Koon Hean berkata:

“Bersama-sama rakan kongsi setempat dan antarabangsa, kami berharap dapat memperluas pengetahuan kami dan memperkukuh kepakaran dalam cara kami memanfaatkan teknologi bagi membangunkan penyelesaian praktikal dalam meningkatkan kebolehdapatan estet HDB dan menyokong pembangunan mampan di Singapura.”

SISTEM PENYEJUKAN PUSAT: Gambaran pelukis di Park District yang merupakan sebahagian daripada bandar baru Tengah dan terletak di barat Singapura dengan 30,000 flat ini dijangka bukan sahaja menjadi Bandar Hutan pertama Singapura, malah mungkin menjadi Bandar Tenaga Bijak HDB pertama yang antara lain menggunakan teknologi AI. – Foto HDB

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.