Faishal: Pelajar Melayu tunjuk kemajuan dalam pendidikan

Peratusan pelajar yang masuki pendidikan posmenengah meningkat sepanjang 10 tahun lalu Kemajuan memberangsangkan di peringkat GCE ‘O’ dan GCE ‘A’

Berita Harian - - BERITA PARLIMEN -

PARA pelajar Melayu telah menunjukkan kemajuan dalam pendidikan dengan peratusan pelajar yang memasuki pendidikan posmenengah meningkat sepanjang 10 tahun lalu, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Sebanyak 84.1 peratus kohort Darjah Satu 1997 para pelajar Melayu telah dapat melangkah ke pendidikan posmenengah, dan jumlahnya meningkat kepada 94 peratus bagi kohort darjah satu 2006.

Peratusan pelajar yang meraih kelulusan sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran di peringkat GCE ‘O’ bertambah dari 86.6 peratus pada 2007 untuk mencapai 91.3 peratus pada 2016.

Dalam kalangan pelajar peringkat GCE ‘A’ pula, 76.4 peratus pelajar Melayu yang menduduki peperiksaan pada tahun 2007 mendapat sekurang-kurangnya kelulusan dalam tiga mata pelajaran subjek H2 serta lulus Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan. Peratusan itu meningkat mencapai 83.2 peratus pada 2016.

“Anak-anak kita telah menunjukkan prestasi lebih baik sekarang. Dengan kadar kelulusan yang lebih tinggi, mereka mempunyai lebih banyak pilihan apabila meneruskan pengajian ke peringkat posmenengah termasuk pelbagai peluang meningkatkan pendidikan dan mendapat pekerjaan yang lebih baik,” kata Dr Faishal dalam ucapannya sebagai respons mengenai usulan Parlimen bertajuk “Pendidikan Bagi Masa Hadapan”.

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Azmoon Ahmad yang menyuarakan keprihatinan sama ada para pelajar yang datang dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan dapat maju bersama.

Dr Faishal menegaskan pelajar tersebut akan terus dibantu bagi memastikan mereka diberi peluang yang sama seperti anak-anak lain.

Sejak 2017, Kementerian Pendidikan (MOE) telah meningkatkan jumlah dermasiswa bagi pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Politeknik dan Universiti Autonomi (AU).

Dengan meningkatkan jumlah dermasiswa Majlis Pembangunan Masyarakat/Jawatankuasa Rundingan Rakyat (CCC) sebanyak $200 hingga $400 bergantung kepada institusi, ia membantu mengimbangi kos pendidikan pos-menengah.

MOE juga memperkenalkan pendapatan keluarga bulanan kasar sebagai penilaian pendapatan alternatif agar lebih ramai pelajar layak mendapat bantuan.

Pelajar juga boleh bermohon mendapatkan biasiswa berdasarkan merit dan skim bantuan kewangan dari yayasan dan badan bantu diri yang lain.

Pada 2016, lebih 70 peratus pelajar ITE menerima bantuan kewangan, dermasiswa atau biasiswa pada 2016. Lebih 60 peratus pelajar di politeknik dan AU juga menerima sokongan kewangan yang sama.

Dr Faishal mengongsi kisah Siti Hajar, seorang pelajar darjah satu di Sekolah Rendah Riverside yang sebelum ini menyertai tadika MOE, MK@Riverside, pada 2016.

Ibu bapa Siti Hajar membayar yuran bulanan tadika sebanyak $1.50 kerana memenuhi kriteria kelayakan pendidikan sedangkan yuran bulanan tadika itu ialah $150.

Pada sebelah petang, Siti Hajar menyertai pusat penjagaan pelajar, KCare, dengan bayaran yuran sebanyak $2.10 berbanding yuran biasa $225. Di bawah Geran Start-Up sebanyak $240, Siti Hajar juga boleh mendapat tiga set pakaian seragam sekolah setahun.

Dalam membantu pelajar yang mempunyai keperluan khas, Dr Faishal berkata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga akan memberikan sokongan mencukupi bagi individu kurang upaya dan penjaga mereka di setiap tahap kehidupan di bawah Pelan Induk Keupayaan Ketiga.

MSF akan membangunkan rangka kerja bagi menyokong penjaga, khususnya ibu bapa baru dengan anak-anak dengan keperluan khas, membangunkan kemahiran relevan dan membaiki pemahaman mengenai keperluan anak-anak itu, kata Dr Faishal, yang mengongsi keprihatinan Anggota Parlimen (AP) Cik Rahayu Mahzam (GRC Jurong) sebagai ibu seorang anak yang mempunyai keperluan khas.

BENTANG KEMAJUAN: Dr Faishal berkata dengan kadar kelulusan lebih tinggi, pelajar Melayu mempunyai lebih banyak pilihan apabila meneruskan pengajian ke peringkat posmenengah termasuk pelbagai peluang meningkatkan pendidikan dan mendapat pekerjaan yang lebih baik. – Foto fail

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.