Singtel bentuk liga sukan dalam talian, tawar hadiah AS$300,000

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SEKTOR elektronik sukan setempat dan serantau dijangka mendapat rangsangan dengan adanya satu liga sukan elektronik (e-sukan) serantau, sedang industri itu bersiap sedia mencecah nilai sebilion dolar dalam tempoh dua tahun.

Menurut The Straits Times, syarikat Singtel kelmarin mengumumkan bahawa ia telah menubuhkan liganya sendiri, diberi nama PVP eSports Championship, bagi pemain setempat dan rantau ini, yang akan membawa kepada satu pertandingan dengan pasukan antarabangsa dan hadiah keseluruhan bernilai AS$300,000 ($406,380).

Liga itu memaparkan dua permainan: arena dalam talian, Dota 2, yang popular, dan arena permainan Arena of Valor, melibatkan pertarungan ramai pemain mudah alih.

Permainan kelayakan secara dalam talian bagi kededua permainan akan dibuka akhir bulan ini dan akan dibuka kepada pemain di Singapura, Australia, India, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Pemenang daripada setiap negara – yang boleh melibatkan para pemain profesional – akan memasuki peringkat akhir bersama pasukan profesional prakelayakan daripada Amerika Utara, Eropah, dan China di kejuaraan Oktober ini.

Peringkat akhir akan berlangsung di Suntec Singapore mulai 5 hingga 7 Oktober.

Mereka yang tidak dapat datang secara peribadi boleh menyaksikan pertandingan menerusi platform Singtel.

Singapore Press Holdings (SPH) juga akan membuat liputan acara itu selaku rakan media.

Timbalan Ketua Eksekutif SPH, Anthony Tan, berkata e-sukan telah berkembang di peringkat serantau dari sudut bilangan penonoton dan penglibatan sejak beberapa tahun lalu.

“Kami gembira menjadi rakan Singtel untuk membawakan aset media menyeluruh kami ke media cetak, digital, radio, dan di luar bagi menambah penonton e-sukan di serata negara dan rantau ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.