Tokoh tari kelahiran Sriwana jejak sejarah juang 63 tahun

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

TEMPOH 63 tahun memajukan dunia tari Melayu Singapura merupakan jangka masa panjang buat Sriwana.

Meskipun beberapa penggiatnya sudah pun mengorak langkah membangunkan kumpulan masing-masing bahkan disegani dalam dunia tari Melayu, Sriwana tidak pernah dilupakan.

Proses mencedok ilmu dan berlatih penuh gigih dalam kumpulan tarian itu tetap dikenang.

Malah, dalam acara segah Pesta Raya 2018 anjuran Esplanade, penggerak Sriwana dari dulu hingga kini ingin mengabadikan rentetan sejarah dalam persembahan istimewa.

Justeru terhasillah Lenggang Legenda: Merintis Sejarah yang menjejak asal-usul tarian Melayu di Singapura dalam tiga sesi persembahan percuma di Teater Luar Esplanade esok.

Pada 7 malam, 8.15 malam dan 9.15 malam, anda berpeluang menyaksikan hasil ilham jurutari muda dan mapan.

Bekas penggiat Sriwana seperti Cik Som Said, Encik Osman Abdul Hamid, Encik Rizman Kassim, Cik Mazlina Buang dan Cik Norlie Ismail mengenang nostalgia kumpulan yang diasaskan Allahyarham Nongchik Ghani itu.

Kumpulan yang mereka bangunkan iaitu Sri Warisan, Teater Tari Era, Persadaku Akademi Seni Budaya (ASB), Atrika dan Kirana Seni turut mewarnai persembahan.

Tarian zapin, joget, asli, masri dan inang serta kontemporari akan dipersembah.

Ketika dihubungi Gah!, presiden dan pengarah artistik Sriwana Fauziah Hanom Yusof berkata:

“Kami berbesar hati kerana Esplanade memberi ruang kepada Sriwana mengusahakan bermacam acara tahun ini.

“Sejarah tarian Melayu di Singapura juga terikat pada sejarah Sriwana sebagai kumpulan seni pementasan paling lama di sini.

“Kerencaman boleh dijangka dengan penonton bakal menyaksikan tarian klasik di istana misalnya hingga ke era tarian kontemporari hasil ilham jurutari muda.”

Beliau juga teruja dengan kesudian bekas anggota Sriwana yang tampil kembali dalam persembahan bersejarah itu.

“Walaupun masing-masing ada kumpulan sendiri, semangat memasyarakatkan tarian Melayu dalam acara seperti Pesta Raya ini, amat saya hargai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cik Fauziah berharap peminat tarian Melayu tidak melepaskan peluang menimba ilmu daripada guru tari zapin legenda Ibu Surianty pada 11.30 pagi Sabtu ini.

Ibu Surianty, yang lebih dikenali sebagai Madam A. Chun, mengajar seni tari zapin di Singapura sekitar 1961.

“Madam A. Chun begitu dekat dengan tarian zapin. Pada usia senjanya, beliau ingin berkongsi pengalaman dan ilmunya.

“Bengkel sejam setengah ini menarik bagi penyertaan sesiapa sahaja yang ingin amati tarian zapin klasik,” katanya.

Bayaran $15 dikenakan bagi peserta bengkel. Tempahan boleh dibuat menerusi laman Sistic.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.