Pegawai veteran dunia iklan dipecat, peguam siasat kes

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

VETERAN bidang pengiklanan Tham Khai Meng semalam dipecat daripada jawatannya sebagai ketua pegawai kreatif sedunia The Ogilvy Group.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi pengiklanan sedunia itu, Encik John Seifert, memberitahu kakitangan menerusi makluman bahawa keputusan itu diambil hasil siasatan dalaman yang dijalankan berdasarkan aduan ke atas kelakuan Encik Tham.

Majalah industri Adweek berkata makluman itu menyebut bahawa aduan ke atas Encik Tham timbul dua minggu lalu.

Malah, aduan dianggap cukup serius hingga syarikat melantik peguam luar untuk menyiasat.

“Selepas saya dan rakan kongsi meneliti laporan siasatan, kami memutuskan bahawa kelakuan Khai melanggar nilai murni dan kod tatalaku syarikat ini,” kata Encik Seifert. “Saya memutuskan memberhentikan Khai dengan serta-merta.”

Encik Tham, 60-an tahun, sudah berumah tangga. Beliau, yang menyertai agensi pengiklanan gergasi itu pada 1999, pengerusi bersama lembaga Ogilvy.

Pada 2009, beliau menjadi warga Singapura dan wakil Asia pertama dilantik menjadi ketua pegawai kreatif sedunia di syarikat itu.

Dalam peranan itu, beliau menjadi jurucakap kreatif agensi itu dan sering diundang berucap di sidang pengiklanan dunia.

Di Ogilvy, beliau memainkan peranan membentuk identiti jenama besar seperti Coca-Cola, IBM, Unilever dan Louis Vuitton.

Di bawah pimpinannya, Ogilvy memenangi anugerah berprestij Cannes Lions Network of the Year lima tahun berturut-turut sejak 2012.

Beliau antara empat penerima anugera Jurureka Terbaik di Anugerah Reka Bentuk Presiden 2009 di Singapura.

Sebelum menyertai Ogilvy, Encik Tham berkhidmat di Leo Burnett dan Batey Ads.

Beliau pun pernah memainkan peranan dalam kempen iklan Singapore Airlines dan Hotel Raffles.

Bercakap kepada akhbar The Straits Times, bekas pengarah kreatif sedunia Ogilvy Encik Tuang Ching, yang bekerja dengan Encik Tham selama sembilan tahun sebelum meninggalkan syarikat itu tahun lalu, berkata beliau terkejut mendengar berita itu.

“Pengalaman saya bertugas dengannya ialah beliau seorang profesional yang bersikap baik kepada saya,” ujarnya.

ENCIK THAM KHAI MENG:

Berita pemecatannya mengejutkan industri dan bekas rakan kerja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.