Program baru bantu bukan karyawan IT raih kemahiran digital

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SEBUAH program latihan baru yang bertujuan membantu karyawan yang tidak mempunyai latarbelakang dalam teknologi maklumat (IT) meraih kemahiran kecekapan digital dilancarkan semalam.

Program Kecekapan Digital (DigiPro), yang disasarkan kepada karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), merangkumi kursus modul pendek dalam bidang seperti keselamatan siber, data dan wawasan perniagaan, ciptaan kandungan dan penjenamaan peribadi sebagai permulaan, lapor The Straits Times semalam.

Memberi ucapan di majlis pelancaran program oleh Persatuan Komputer Singapura (SCS) itu di hotel Mandarin Orchard Singapore semalam, Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo menyifatkan program itu sebagai satu langkah ke arah membina sebuah tenaga kerja cerdas yang diperlukan untuk menangani cabaran masa depan.

Beliau berkata masa depan pekerjaan masih lagi dibentuk dan “tiada sesiapa tahu bagaimanakah ia akan kelihatan atau bagaimana untuk mempersiapkannya,” kata beliau.

Cik Teo bagaimanapun berkata adalah baik untuk mempersiapkan tenaga kerja dari awal.

“Ini bermakna bahawa kita akan memerlukan sebuah tenaga kerja cerdas dan perniagaan cerdas yang sentiasa sedar tentang trend yang baru muncul, sentiasa memeriksa apa yang baik, apa yang tidak, sentiasa cuba menjadi lebih baik,” tambah beliau.

Beliau berkata teknologi akan membantu mengurangkan kebergantungan pada tenaga manusia dalam beberapa bidang, namun syarikat yang sedang berkembang mungkin masih perlu mendapatkan lebih ramai pekerja bagi memenuhi pekerjaan baru yang lain.

Dengan teknologi mempertingkatkan produktiviti, pendapatan juga boleh menjadi lebih tinggi, kata beliau.

Demi meraih manfaat daripada situasi itu, pekerja tidak harus “terperangkap dengan kemahiran lama dalam perniagaan merosot”, dan harus diberi peluang mempertingkat kemahiran dan mencuba peranan pekerjaan baru, kata beliau.

Ketua eksekutif Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA), Encik Tan Kiat How, yang juga hadir di majlis pelancaran, berkata inisiatif seperti DigiPro akan membantu menyokong dan membangunkan karyawan berkemahiran digital, sekali gus membawa Singapura lebih dekat kepada matlamatnya menjadi sebuah ekonomi digital sejagat.

“Terdapat permintaan kuat bagi karyawan yang mahir dalam teknologi dalam ekonomi sedang transformasi digital industri dan perniagaan semakin meningkat,” kata beliau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.