RSAF akan sertai Hari Bastille Perancis

Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan juga menghadiri sambutan perbarisan hari kebangsaan Perancis itu selaku tetamu terhormat

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SEMPENA Hari Bastille Sabtu ini, pesawat pejuang tentera udara Singapura dan Perancis akan berganding bahu, membelah ruang udara Paris dalam satu acara terbang lalu.

Menurut laporan The Straits Times, ini merupakan penampilan sulung Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) – yang mempunyai detasmen latihan di barat daya Perancis – dalam perbarisan hari kebangsaan negara Eropah itu.

Pesawat Pelatih RSAF M-346 akan terbang disisi lima pesawat Alpha Perancis dalam satu formasi rapat.

Pesawat RSAF itu akan dikendalikan Pegawai Pemerintah (CO) 150 Skuadron, Kapten Yeap Wei Jiun, 36 tahun, dan Instruktur Penerbangan yang Berkelulusan, Kapten Jerevin Chia Min Feng, 32 tahun.

Kededua mereka berpangkalan di Pangkalan Udara Cazaux, sekitar 60 kilometer dari bandar Bordeaux.

Kapten Yeap memberitahu wartawan Singapura yang mengunjungi pangkalan udara tersebut baru-baru ini bahawa jemputan untuk mengambil bahagian dalam acara terbang lalu itu merupakan satu perkara yang besar untuk skuadron negara.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 RSAF sejak ia berpangkalan di Perancis di mana kru penerbangan pesawat pejuang meluangkan masa selama setahun di Cazaux mengikuti program latihan pesawat.

Sejak dua dekad yang lalu, lebih daripada 180 kakitangan pesawat pejuang RSAF telah dilatih di Pangkalan Udara Cazaux.

Sekitar 277 kakitangan RSAF, terdiri daripada para instruktur, pelatih, jurutera, kakitangan sokongan dan kakitangan syarikat ST Aerospace kini sedang mengikuti latihan di detasmen Cazaux. Mereka turut disertai keluarga masing-masing.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong juga akan menghadiri sambutan perbarisan hari kebangsaan Perancis itu selaku tetamu terhormat.

Beliau akan membuat lawatan rasmi ke Perancis dari hari ini hingga 15 Julai atas undangan presiden negara itu, Encik Emmanuel Macron.

Kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata lawatan itu akan memperkukuh hubungan dua hala yang hebat, termasuk ulang tahun ke-20 Latihan Pesawat Maju RSAF di Pangkalan Udara Cazaux dan Tahun Inovasi Perancis-Singapura 2018.

Semasa lawatannya, Encik Lee akan bertemu dengan Presiden Macron disamping dijemput untuk jamuan makan malam.

Encik Lee turut akan membuat pertemuan berasingan dengan Perdana Menteri Perancis, Encik Édouard Philippe.

Beliau juga akan menghadiri majlis makan tengah hari dengan pemimpin industri Perancis, selain menghadiri majlis jamuan dengan warga Singapura yang berada di sana.

Satu perjanjian Singapura-Perancis dalam memperluas kerjasama dalam innovasi digital, pemerintahan dalam talian dan keselamatan siber akan diperkenalkan oleh Encik Lee dan Encik Macron.

Beberapa perjanjian dua hala dalam bidang inovasi, kecerdasan buatan (AI), penyelidikan dan pembangunan, pertukaran pelajar, serta tenaga juga akan ditandatangani bersempena dengan lawatan tersebut.

JEMPUTAN ISTIMEWA: (Dari kiri) Kapten Jerevin Chia dan Kapten Yeap Wei Jiun merupakan juruterbang yang akan mengendalikan pesawat pelatih M-346, mengiringi pesawat pejuang Alpha Perancis sewaktu Hari Bastille esok. (Gambar kiri sekali) Pelatih juruterbang Lim Zhi Ler merupakan salah seorang kakitangan RSAF yang sedang mendapatkan latihan di Pangkalan Udara Cazaux. – Foto-foto BH oleh KELVIN CHNG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.