Kaunseling, program pemulihan bantu atasi kemurungan

Berita Harian - - GAH! - NUR DHUHA ESOOF nurdhuha@sph.com.sg

SUKAR tidur, rasa tidak gembira dan jantung berdegup kencang.

Inilah antara perkara yang dialami Cik Rafeah Mohd Said kali pertama beliau diserang kemurungan pada 2005 selepas ibunya meninggal dunia.

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya, ibu tiga anak itu menemui doktor keluarga (GP) yang mengesahkan beliau mengalami kemurungan dan memberinya ubat antidepresan.

“Saya menjadi murung dalam seminggu selepas ibu saya meninggal dunia. Saya rasa menyesal kerana tidak memberi ibu saya perhatian semasa hayatnya,” kata suri rumah berusia 53 tahun itu kepada Gah! ketika ditemui baru-baru ini.

Sedang ubat yang diberikan membantu Cik Rafeah mengatasi kemurungannya, beliau mengambil masa lebih enam bulan untuk pulih.

Dalam tempoh 13 tahun lalu juga kemurungannya telah beberapa kali berulang.

Semasa episod kemurungan terbaru Mac tahun lalu, Cik Rafeah cuba mendapatkan bantuan daripada Kelab Heal atas saranan seorang rakannya.

“Pada mulanya saya keberatan nak ke Kelab Heal kerana saya bayangkan tempat itu penuh dengan orang gila. Saya rasa takut sangat tapi saya cuba juga sebab saya nak baik. Selepas menemui kaunselor, Cik Balqis Maricar, saya rasa bersemangat kerana beliau banyak memberi saya dorongan,” kata Cik Rafeah yang berjaya keluar daripada episod kemurungan itu dalam masa dua bulan.

Menurut Cik Balqis, rawatan bagi mengatasi kemurungan terdiri daripada 20 peratus kaunseling, 20 peratus pemulihan, 20 peratus perubatan dan 40 peratus tekad.

Menerangkan tentang tekad yang membentuk sebahagian besar proses mengatasi kemurungan, Cik Balqis berkata klien yang mempunyai tekad yang kuat lebih cepat pulih.

“Ada tiga jenis klien – mereka yang mahu mendapatkan rawatan, mereka yang tidak yakin dan tidak tetap dalam mendapatkan rawatan, dan mereka yang langsung tidak mahu teruskan rawatan. Cik Rafeah tergolong dalam jenis klien yang pertama dan disebabkan itu beliau dapat pulih dalam masa yang cepat sekitar dua bulan,” kata Cik Balqis.

Beliau menerangkan, sedang ubat penting dalam membantu mengatasi kemurungan, pesakit yang memakan ubat sahaja tanpa sokongan kaunseling dan pemulihan boleh rasa ‘tersekat’ tanpa pemahaman.

“Menerusi kaunseling, kami dapat ikuti perkembangan klien. Kami bersama-sama klien aturkan rancangan dan matlamat. Pemulihan pula membuat klien sibuk dengan program yang disertai. Klien menjadi fokus, dapat berinteraksi dengan orang lain, dan berpeluang belajar kemahiran baru,” kata Cik Balqis.

Semasa menjalani pemulihan, Cik Rafeah berpeluang mencuba beberapa kegiatan seperti memasak dan berkebun, dan mendapati beliau sebenarnya berbakat melukis.

Salah satu karyanya malah dipilih menjadi memorabilia di Istana.

Menerusi Kelab Heal juga Cik Rafeah belajar cara mencegah kemurangan daripada berulang.

“Saya belajar cara menapis fikiran saya dengan mengalih pemikiran saya jika saya mula fikir benda yang buruk. Saya juga belajar cara mengekalkan kesejahteraan mental antaranya dengan pernafasan yang betul apabila rasa resah,” kata Cik Rafeah yang meluahkan rasa lega semua program Kelab Heal dijalankan secara percuma.

Kini beliau masih terus mengambil ubat yang diberikan doktor, namun dalam dos yang berkurangan.

LAWAN KEMURUNGAN DI KELAB HEAL: Cik Rafeah Mohd Said (tengah) mendapati kegiatan melukis dapat membantunya mengatasi kemurungan dan keresahan yang dialami. Beliau berterima kasih kepada kakitangan Kelab Heal yang banyak menolongnya seperti pakar sokongan rakan, Encik Daryl Tan, (kiri) dan kaunselor Cik Balqis Maricar.– Foto BH oleh KHALID BABA

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.