Kupas kepimpinan dengan watak, kisah rakyat

Berita Harian - - GAH! - HARYANI ISMAIL haryani@sph.com.sg

RASA teruja memenuhi benak apabila diundang bertandang ke ‘Kampung Alkesah’ kelmarin untuk meraikan pembukaan tirai Pesta Raya.

Sejurus menjejakkan kaki ke ‘kampung’ yang meminjam ruang Teater Studio Esplanade selama empat hari, penulis terus mengesan kemeriahannya.

‘Rimba’ menghijau depan mata cukup menenangkan. Tetamu lain pula berwajah ceria bagai tidak sabar menanti tuan rumah.

Hilang segala lapar dahaga melihat Penghulu Mat Jenin, Pak Pandir, Mak Andir, Pak Kaduk, Pak Belalang, Nenek Kebayan, Sang Kancil dan Mak Pekan beraksi jenaka.

Pementasan muzikal Alkesah, yang menjadi antara acara utama Pesta Raya tajaan SPH Gift of Music, memang tepat dijadikan wadah renungan dalam bergelak ketawa.

Syabas kepada Zulfadli Rashid (Big) selaku penulis naskhah Alkesah dan pengarah Aidli Mosbit kerana berjaya menghasilkan muzikal yang menghiburkan.

Tahniah juga buat barisan pelakon – Norisham Osman (Mat Jenin); Hatta Said (Pak Pandir); Siti Khalijah Zainal (Mak Andir); Muhd Haikal Mohd Jani (Pak Kaduk); Jeff Catz (Pak Belalang); Siti Maznah (Nenek Kebayan); Shafiqhah Efandi (Sang Kancil) dan Siti Hajar Gani (Mak Pekan) – yang mempunyai kekuatan tersendiri bagi menghidupkan muzikal ini.

Jika lapan tahun lalu penulis terpegun dengan watak Badang, Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah dalam filem Magika terbitan KRU Studios, Alkesah memberi perspektif pemikiran baru pula tentang setiap watak kisah rakyat Melayu.

Perihal kepimpinan tidak berarah, pemerkasaan wanita dan kesan hasad dendam semuanya diulit menjadi satu.

Sebagaimana yang dinyatakan Big dalam prakata Alkesah:

“Saya mulai sedar cerita rakyat ini sangat bijak mengupas isu sosial melalui cara berjenaka, tindakan yang tidak munasabah dan fantasi, malah ia seperti Monty Python versi Melayu!”

Secara umum, Alkesah membuka lembaran cerita tentang Mat Jenin yang suka berangan dan tidak rela menjadi penghulu Kampung Alkesah selepas ayahnya meninggal.

Pak Belalang yang cemburu dan mengidamkan tugas penghulu pula mencabarnya merentasi Hutan Bahana bagi berjumpa Nenek Kebayan di Gunung Saman.

Kononnya, si nenek menyumpah Kampung Alkesah sehingga menjejas tanaman dan mata pencarian penduduk kampung.

Pada akhirnya, siapakah yang menjadi penyelamat dan siapakah yang dipenuhi muslihat dan dendam kesumat?

Payah dijangka apa yang akan menjadi kesudahannya. Jalan cerita disulam dengan begitu baik hinggakan penonton sukar meramalkan apa yang akan berlaku.

Ikon usahawan selebriti Seberang Tambak yang mempunyai personaliti selamba tersendiri seperti Datuk Aliff Syukri boleh dilihat dalam diri Pak Pandir. Ciri-ciri Datuk Seri Vida pula seperti ‘hidup’ dalam diri Nenek Kebayan (yang juga kelihatan seperti Lady Gaga yang boleh membuat tarian ‘split’ persis ahli gimnastik!).

Namun, sebagai anggota kaum Hawa, penulis rasa ‘tamparan wanita’ meluap-luap dalam muzikal. Kebijaksanaan Mak Andir mengupas masalah yang melanda kampung, ketangkasan dan prinsip hidup Nenek Kebayan, ketekunan dan sikap suka membantu Sang Kancil serta keberanian Mak Pekan (walau nampak jelas seorang penggoda) semuanya bukti nyata diketengahkan dalam pementasan.

Daripada segi vokal, rata-rata kesemua pelakon wanita mampu menyampaikan lagu berperisa muzikal Singapura ciptaan Elaine Chan dengan baik.

Tidak terkesan pun unsur kemelayuan seperti dalam muzikal Melayu seberang Tambak.

Malah, banyak pujian yang boleh saya beri atas faktor kesegaran Alkesah. Jika diri ini sentiasa tersentuh dek penyampaian bersahaja ‘orang lama’ seni lakon seperti Siti Khalijah, Siti Hajar, Hatta dan Norisham, saya harap ini bukan teater Melayu pertama dan terakhir buat Siti Maznah dan Jeff.

Pendek kata, Alkesah menghiburkan tetapi jangan lupa bawa minda bersama untuk berfikir tentang isu kepimpinan yang disisipkan.

Tiket bagi pementasan 3 petang dan 8 malam, hari ini dan esok, berharga $35 dijual di kaunter, laman dan talian Sistic.

GALI ISU KEPIMPINAN: ‘Alkesah’ ialah muzikal menghiburkan yang turut menyentuh tentang isu kepimpinan seseorang yang tidak rela diberi amanah sebegitu seperti

Mat Jenin yang kaki berangan. – Foto-foto JACK YAM BUAT ESPLANADE

‘TAMPARAN WANITA’: Watak Mak Andir yang bijaksana, lakonan Siti Khalijah Zainal, dalam konteks masyarakat tradisional, memberi suntikan pembaharuan dan jaminan tentang peranan penting kaum Hawa dalam kepimpinan masyarakat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.