Runtuhnya ‘Puncak Kasih’ Ziana dan Armin

Berita Harian - - GAH! -

Yang jelas, ibu empat anak itu cukup cermat menjaga ketat rahsia mahligai yang dibina atas dasar cinta sama cinta.

Namun, ketahanan dan kesabaran manusia tetap ada hadnya. Ziana hanya mampu mempertahankan rumah tangganya selama 20 tahun.

Pada 3 April lalu, Ziana memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam selepas Armin dikatakan enggan melepaskannya secara baik.

Ziana memfail tuntutan penceraian itu berkaitan penderaan mental yang dialaminya, nafkah dan kes dera anak-anak mereka.

Ikatan perkahwinan yang ternyata penuh bergelora itu akhirnya terlerai apabila Armin melafazkan talak satu terhadap Ziana di mahkamah Shah Alam kelmarin.

Pada Mac lalu, Armin didakwa di mahkamah atas tuduhan mencederakan anak lelakinya pada 25 Februari lalu.

Armin, 53 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Dalam satu interviu dengan sekumpulan wartawan Malaysia yang mana rakaman itu disiarkan di YouTube, Ziana meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini.

Ziana, 50 tahun, mendakwa seawal bulan keempat berkahwin, beliau sudah merasakan tekanan mental.

“Tiada siapa yang tahu kerana saya diajar ibu bapa merahsiakan hal rumah tangga.

“Melihat pagar pun saya dah meraung. Kalau orang lain rumahku syurgaku, tetapi bagi saya dan anak- anak, rumahku nerakaku.’’

Ziana juga mengakui telah membawa keempat-empat anaknya mendapatkan rawatan psikiatri atas nasihat doktor selepas melihat mereka murung dan tertekan.

“Anak-anak ada yang suka berdiam dan bersendirian... Mereka trauma dengan apa yang dilalui.

“Saya sentiasa bertanya mereka. Syukur apabila anak-anak berkongsi, baru saya tahu mereka pendam perasaan selama ini... Mereka diam kerana takut,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Ketika ditemui media selepas prosiding kelmarin, Ziana berkata beliau lega kerana perceraian itu berjalan dengan baik.

Beliau juga mengakui telah memaafkan Armin.

“Saya tidak pandai simpan dendam... Saya bukan orang jenis begitu.

“Saya bersyukur semuanya selesai dengan tenang dan aman hari ini,’’ katanya.

Dalam linangan air mata, penyanyi yang juga popular dengan lagu Kemelut Di Muara Kasih itu berharap segala urusan seterusnya dipermudahkan bagi dirinya dan Armin.

“Syukur kepada Allah berkat kesabaran saya, semuanya selesai dengan baik dan tenang.

“Sukar untuk saya tafsirkan air mata ini... Apa-apa pun, sama-sama doakan yang terbaik untuk hari mendatang,” katanya.

Armin dan Ziana dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19 tahun; Muhammad Ammar, 14 tahun; dan pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, sembilan tahun.

HANYA BERTAHAN 20 TAHUN: Ziana Zain dan suaminya (gambar kiri) di majlis perkahwinan mereka pada Mei 1998. Bagaimanapun, rumah tangga mereka hanya dapat bertahan selama 20 tahun. Kelmarin, Ziana dan Armin Zaharin Ahmad Zambri (gambar kanan) bercerai. Armin melafazkan talak satu terhadap Ziana di Mahkamah Shah Alam. – Foto-foto INSTAGRAM ZIANA ZAIN

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.