Gangguan bekalan elektrik di beberapa bahagian di Palu pulih

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

PALU: Selepas 10 hari gempa bumi dan tsunami melanda Sulawesi Tengah, bekalan elektrik mula pulih di beberapa bahagian di Palu.

Malah kegiatan perniagaan mula bertapak dengan kehidupan mula diteruskan oleh para penduduk dan urusan jual beli telah mula dilihat di beberapa buah pasar.

Bandar raya Palu yang mempunyai penduduk lebih daripada 370,000 orang ini mula bangkit memulakan kehidupan.

“Kami tadi sudah belanja sayur dan telur. Suasana aman tidak ada apa-apa,” kata Cik Hasna, warga kota Palu seperti yang dilaporkan Kompas.com.

Pelajar di sini mula kembali ke sekolah untuk membersihkan kelas, membantu mengumpul data jumlah pelajar yang kembali ke sekolah 10 hari selepas dilanda gempa bumi serta tsunami.

Seorang pelajar berpakaian seragam kelabu dan putih di sebuah sekolah menengah awam sedang menyapu serpihan kaca pecah di kelasnya.

Kebanyakan piala jatuh dari almari yang pecah dan gelanggang bola keranjang juga jelas retak.

“Amat menyedihkan bila melihat keadaan sekolah kami,” kata Dewi Rahmawati, 17 tahun, yang bakal menamatkan persekolahan tahun depan dan berhasrat menyambung pengajian dalam bidang ekonomi di universiti.

Beberapa buah kedai mula dibuka semula, rangkaian telefon utama kembali beroperasi dan beberapa syarikat penerbangan komersial dijangka memulakan penerbangan di lapangan terbang yang rosak di bandar tersebut.

Sementara bantuan kecemasan perlahan tiba di Sulawesi, pihak berkuasa mula meningkatkan keselamatan untuk mengakhiri penjarahan di kalangan penduduk yang kehabisan makanan dan air bersih.

Jumlah kematian rasmi meningkat kepada 1,571 pada Jumaat lalu dengan 70,000 orang lain berpindah.

Gempa bumi 7.5 magnitud pada 28 September lepas mencetuskan tsunami besar yang menyebabkan banyak rumah dan bangunan lain di Palu musnah.

Ini menyebabkan laluan jalan dan jambatan dihanyutkan oleh air, memisahkan laluan pengangkutan sekurang-kurangnya di tiga daerah di sekitar Palu, dengan jumlah penduduk lebih dari 1 juta orang.

“Ekonomi di bandar Palu telah pulih, pasar sudah beroperasi,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Dr Sutopo Purwo Nugroho semalam.

Pasar yang mula dibuka ialah Pasar Masomba dan Pasar Pusat Bandar Palu.

Di samping itu, pusat membeli-belah juga mula dibuka.

Dr Sutopo juga berkata bahawa pihaknya mendapati kedai-kedai dibuka menjual barang dagangan walaupun terdapat kerosakan yang dialami.

“Kami hanya mendapat maklumat dari Matahari Department Store di bandar Palu City juga dibuka walaupun masih ada kerosakan bangunan tetapi masih beroperasi,” katanya.

Menurut beliau, beberapa pejabat juga akan mula mengambil semula pekerja mereka. Begitu juga dengan agensi pemerintah tempatan.

“Pejabat kami menjangkakan hari ini (Isnin) untuk beroperasi. Pegawai-pegawai tempatan telah mula bekerja,” jelasnya.

Para penduduk juga telah dapat bergerak walaupun tidak sepenuhnya normal.

“Pulih dalam erti kata bahawa ia tidaklah 100 peratus pulih kerana banyak bangunan runtuh.

“Tetapi orang ramai mula membeli dan menjual menggunakan khemah di halaman rumah. Mereka menggunakan kemudahan yang ada di situ,” jelas Dr Sutopo.

Jaringan komunikasi yang terjejas di beberapa tempat di Kota Palu, bandar paling teruk mengalami kemusnahan kini mulai pulih.

Tinjauan mendapati talian telefon serta kemudahan internet sudah kembali pulih seperti biasa di beberapa tempat di bandar berkenaan, namun di kawasan yang mengalami kemusnahan teruk seperti di Patebo dan Donggala, keadaan sistem komunikasinya masih tidak berubah.

Selain itu, difahamkan syarikat telekomunikasi tempatan turut memberi panggilan percuma selama seminggu kepada mangsa yang berada di bandar itu untuk menghubungi keluarga masing-masing.

Seorang mangsa, Cik Kamilah Entu, 29, berkata dia bersyukur talian komunikasi telah kembali pulih seperti biasa di kota Palu selepas terhenti sejurus kejadian itu berlaku.

“Selepas tsunami serta gempa berlaku, talian komunikasi tidak stabil, ada di beberapa kawasan terus tiada talian menyebabkan kami terputus hubungan selama dua hari dengan dunia luar. Sekarang Alhamdulillah, keadaan jaringan komunikasi sudah kembali pulih...saya dimaklumkan rakan, kabel komunikasi banyak putus serta tiangnya tumbang ketika bencana itu,” kata Cik Kamilah.

Pengetua sekolah, Encik Kasiludin berkata pihak berkuasa mengarahkan semua guru hadir ke sekolah bermula hari ini untuk merekodkan jumlah pelajar.

“Kami tidak akan memaksa pelajar untuk kembali ke sekolah kerana ramai yang masih dalam keadaan trauma. Tetapi kami perlu bermula segera untuk memulihkan kembali semangat mereka dan agar mereka tidak ketinggalan.” – Agensi berita

KERJA-KERJA PEMULIHAN: Mesin pengorek memindahkan sebuah kereta yang rosak bersebelahan sebuah masjid yang rosak akibat gempa bumi di kawasan kejiranan Balaroa, Palu, Sulawesi. – Foto REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.