Acara tunjuk sokongan kepada mereka yang terjejas barah buah dada

Berita Harian - - GAH! -

YAYASAN Barah Buah Dada (BCF) melancarkan Bulan Kesedaran Barah Buah Dada (BCAM) Sabtu lalu dengan menganjurkan acara Berjalan Kaki Reben Merah Jambu.

Diadakan di Hab Sukan Singapura, kegiatan itu merupakan acara utama BCF yang didedikasikan demi meningkatkan kesedaran dan menunjukkan sokongan kepada mereka yang terjejas oleh barah buah dada.

Acara itu dihadiri tetamu terhormat, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.

Buat kali pertama dalam acara Berjalan Kaki Reben Merah Jambu itu, hampir 1,900 hadirin menyertai joget lambak yang dipimpin bekas pesakit barah, penjaga, relawan dan anggota jawatankuasa BCAM.

Mereka semua memakai topi berwarna merah jambu, melambangkan lebih 1,900 wanita yang disahkan menghidap barah buah dada di Singapura setiap tahun.

Sesi joget itu menampilkan lagu dan gerakan daripada pelbagai kaum di Singapura bagi menunjukkan perpaduan antara bekas pesakit barah buah dada dengan masyarakat mereka.

Ini mengukuhkan tema BCAM iaitu ‘Every Woman Matters’.

Peserta turut mengambil bahagian dalam acara berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer dan larian 5 kilometer.

“Barah buah dada menjejas bukan hanya tubuh bahkan minda. Sokongan emosi amat penting dan disebabkan itu, keluarga, rakan-rakan dan kumpulan sokongan seperti yang ditawarkan BCF memberi kesan besar dalam perjuangan menempuh barah buah dada, dan pengesanan awal menerusi pemeriksaan buah dada yang kerap,” kata Cik Indranee.

Satu lagi tarikan dalam acara tahun ini ialah peranan lelaki dan perbadanan dalam mengambil bahagian dan berjalan di samping wanita dan rakan kerja wanita bagi menunjukkan perpaduan kepada bekas pesakit barah buah dada dan penjaga mereka.

Ia menekankan pentingnya peranan mereka dalam menggalak wanita agar menjaga kesihatan buah dada mereka.

BCF menggalak lelaki dan perbadanan agar mendorong pengesanan awal dengan memperkasa dan menggalak wanita dalam hidup mereka supaya mengambil berat tentang kesihatan menerusi peringatan tentang pemeriksaan buah dada yang kerap.

Berdasarkan laporan pendaftaran barah tahun lalu, dianggarkan satu dalam 14 wanita di Singapura akan mengalami keadaan itu sebelum mencapai usia 75 tahun.

Namun, kurang 40 peratus wanita yang layak – berumur 50 tahun ke atas – telah menjalani pemeriksaan mamogram.

DIIRINGI LAGU PELBAGAI KAUM: Buat kali pertama dalam acara Berjalan Kaki Reben Merah Jambu anjuran Yayasan Barah Buah Dada (BCF), hampir 1,900 hadirin menyertai joget lambak yang dipimpin bekas pesakit barah, penjaga, relawan dan anggota jawatankuasa Bulan Kesedaran Barah Buah Dada (BCAM). – Foto YAYASAN BARAH BUAH DADA

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.