Taufan Michael mula hempas Florida

Berita Harian - - BERITA DUNIA -

FLORIDA: Gabenor Florida Rick Scott kini mengerahkan pasukan Pengawal Nasional seramai 5,000 orang dan mengarahkan penduduk sekitar pantai teluk itu supaya menuju ke bahagian dalam bandar bagi menyiapkan diri menghadapi Taufan Michael.

Menurut pemerintah negeri, kekuatan Taufan Michael dijangka bertambah menjadi taufan Kategori Tiga semalam, dengan kekuatan angin melebihi 160 kilometer sejam.

Ini menjadikannya antara taufan paling kuat yang melanda Panhandle, Florida, dalam tempoh beberapa dekad.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat berkata Taufan Michael juga diramal membawa bersama hujan hingga 30 sentimeter dan ribut.

Namun, Taufan Michael buat masa ini masih dikelaskan sebagai taufan Kategori Satu.

Encik Scott membuat pengisytiharan darurat di lebih 20 daerah sepanjang Panhandle dan Big Bend.

“Kita kesuntukan masa. Hari ini hari merancang semua perkara kerana esok mungkin sudah terlewat.

“Amat penting bagai anda menjaga diri dan keluarga kerana Taufan Michael semakin menghampiri Florida,” kata Encik Scott di laman media sosial Twitter.

Taufan Michael sebelum ini menjejas beberapa bahagian Mexico dan Cuba, dengan tiupan angin kencang dan hujan lebat sejak Ahad hingga awal pagi kelmarin.

Ahad lalu, Datuk Bandar Tallahassee Andrew Gillum, yang juga calon Demokrat pilihan raya gabenor 6 November ini, berkata beliau membatalkan kempen dan pulang ke Tallahassee bagi menumpukan perhatian terhadap usaha persediaan menghadapi ketibaan Taufan Michael.

Taufan ke-13 musim ini telah pun membadai Cuba dan membawa bersama angin kencang dan hujan lebat.

Menurut pihak berkuasa, North Carolina akan menerima hujan hingga tujuh sentimeter yang boleh menyebabkan banjir kilat.

Ini disebabkan air bertakung akibat Taufan Florence bulan lalu pun masih belum diserap sepenuhnya.

Beberapa tempat di Florida juga dijangka menerima hujan hingga 30 sentimeter sekali gus boleh menyebabkan banjir teruk.

Di Tallahassee, pihak berkuasa membuka dua pusat banjir bagi mengedarkan guni pasir kepada orang ramai.

Dalam pada itu, ribuan penduduk diarah berpindah ke pusat sementara. Setakat ini, lebih 5,000 anggota tentera telah dikerah untuk membantu mangsa. – Agensi berita.

KELAM-KABUT BELI BEKALAN MINYAK: Pemandu kenderaan di Tallahassee beratur panjang bagi membeli minyak sebagai persiapan menghadapi Taufan Michael yang kian mengganas di teluk Florida. – Foto AFP PETA TAUFAN: Gambar Pentadbiran Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat kelmarin menunjukkan imej satelit Taufan Michael yang semakin menghampiri pantai Amerika. – Foto EPA-EFE

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.