Boleh buat kerja rumah... buat ‘live’ secara serentak

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

PADA awalnya, beliau menjual barangan menerusi penstriman langsung di ruangan Facebook atau Facebook ‘Live’ untuk suka-suka sahaja.

Namun setelah melihat kebaikan yang boleh diraih menerusi wadah tersebut, Cik Noor Aishah Abdul Latiff, 40 tahun, kini menjadikannya sebagai sumber pendapatannya.

“Ketika saya pertama kali menonton pengguna lain membuat penjualan ‘live’ di Facebook, saya dapati bahawa ia cara menarik bagi saya menambah pendapatan. Oleh itu, saya cuba-cuba untuk menjual barangan di Facebook ‘Live’,” cerita suri rumah sepenuh masa itu.

Cik Aishah, atau lebih dikenali sebagai Manja Sha Miara di Facebook, menjual pakaian Muslimah yang beliau pilih dan beli sendiri dari harga $12 hingga $45.

“Selalunya, saya akan kunjungi sendiri bazar dan kedai di serata Singapura untuk mendapatkan stok pakaian itu,” kata Cik Aishah, yang menambah bahawa secara purata, beliau boleh meraih sebanyak $1,000 setiap bulan.

Kata Cik Aishah, penjualan ‘live’ ini dilakukan berdasarkan stok yang masih ada.

“Selagi stok baru masih ada, saya akan terus menjualnya. Tetapi saya tidak boleh menjual baju yang sama terlalu kerap, takut mereka yang menonton video saya akan jemu melihat baju yang sama.

“Apa yang saya selalu lakukan adalah saya akan hentikan jualan stok lama buat sementara waktu dan kemudian menjual stok yang baru dibeli. Selepas beberapa minggu, barulah saya akan menjual kembali stok lama,” jelas Cik Aishah semasa dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Bagi stok lama pula, ibu tunggal seorang anak ini akan menjualnya pada harga lebih murah, dari $10 hingga $20.

Sebagai seorang peniaga di ‘Facebook Live’, Cik Aishah akui terdapat banyak manfaat yang boleh diraih.

“Dengan adanya wadah sebegini, saya bebas untuk ke sana sini. Saya boleh uruskan hal keluarga dan membuat ‘live’ secara serentak.

“Menerusi penjualan di Facebook ini juga, saya boleh berinteraksi dengan penonton yang mahu membeli barangan yang dijual. Mereka juga boleh memberi maklum balas secara langsung menerusi sembang langung (live chat) yang tertera di skrin,” jelas Cik Aishah, yang pernah bertugas sebagai pembantu pentadbir selama 23 tahun.

Bagi mendapat tontonan tinggi, Cik Aishah memastikan agar beliau mengongsikan setiap sesi penstriman langsungnya di kumpulan Facebook seperti SG Online Shopping – Singapore's Largest Buy & Sell Network.

“Kadangkala tu, tajuk yang digunakan bagi video ‘live’ juga memainkan peranan penting.

“Saya akan gunakan tajuk yang boleh menarik perhatian seperti ‘Lelong’ agar pengguna yang ingin tahu, akan klik video saya,” ujar Cik Aishah, yang secara purata mendapat sebanyak 2,000 tontonan dan sehingga 200 perkongsian setelah video ‘live’-nya berakhir.

Selain sebagai sumber pendapatan, beliau turut menambah bahawa keadah penjualan seperti itu juga membuka peluang baginya menjalin persahabatan dengan ramai orang, termasuk pelanggan dan penjual lain menerusi wadah penstriman langsung ini.

“Melalui penstriman langsung ini, saya dapat berinteraksi dengan mereka yang menonton video saya. Dari situ, saya dapat berkenalan dengan banyak pengguna lain.

“Kami banyak menolong antara satu sama lain, seperti berkongsi video ‘live’ masing-masing di Facebook ‘wall’ kami,” tambah Cik Aishah.

CARA MENARIK: Ketika pertama kali menonton pengguna lain membuat penjualan ‘live’ di Facebook, Cik Noor Aishah (atas) mendapati kaedah ini cara menarik baginya menambah pendapatan, justeru mendorongnya cuba-cuba untuk menjual barangan di Facebook ‘Live’. – Foto BH oleh KHALID BABA

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.