Makanan sihat di kantin pekerja pengangkutan

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

PILIHAN makanan yang sihat akan dihidangkan di kesemua 46 kantin Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) mulai Februari depan.

Kesatuan itu juga akan memulakan pusingan kedua kempen untuk menggalak kakitangan pengangkutan awam memilih beras perang.

“Kami sedar bahawa ramai kakitangan pengangkutan awam kami berusia lebih daripada 50 tahun dan kami perlu lakukan lebih banyak lagi usaha bagi memastikan mereka menjaga kesihatan mereka,” kata setiausaha eksekutif NTWU, Encik Melvin Yong.

Kantin kesatuan tersebut, yang memberi khidmat kepada lebih daripada 25,000 pekerja, akan menyediakan makanan lebih sihat yang dinilai oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Setakat ini, enam kantin telah dinilai.

“Sokongan yang diberikan HPB akan membantu pekerja dan juga orang ramai mengenal pasti hidangan mana yang lebih sihat dan mereka boleh membuat pilihan berdasarkan maklumat yang diberi,” tambah Encik Yong.

Inisiatif baru itu diumumkan di Depoh Bas Ulu Pandan semalam.

Kesatuan tersebut, yang memulakan Kempen Beras Perang Mac lalu, berkata ia akan menganjurkan pusingan kedua kempennya bulan ini dengan tajaan sebanyak $100,000 daripada SBS Transit.

Sebahagian daripada kempen itu termasuk memberi baucar makanan kepada kakitangan SBS Transit yang memilih hidangan bersama nasi beras perang.

Para kakitangan juga boleh mendapat baucar jika mereka menghadiri sesi latihan kesihatan yang dianjurkan oleh SBS Transit dan HPB. SBS Transit mempunyai kira-kira 10,500 kakitangan.

“Kapten bas dan kakitangan sokongan bas menghabiskan masa berjam-jam untuk bekerja,” kata ketua eksekutif SBS Transit, Encik Gan Juay Kiat.

“Kami merasakan bahawa kami perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat, agar mereka dapat memupuk tabiat yang lebih baik di sepanjang hayat mereka secara bertahap-tahap.”

LEBIH SIHAT: Mulai Februari depan, kesemua 46 kantin Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) akan menyediakan makanan lebih sihat termasuk nasi beras perang. – Foto ZAOBAO

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.