Kadar dividen bagi pemegang unit Reit SPH naik 0.2%

Berita Harian - - BERITA - NORHAIZA HASHIM norhaiza@sph.com.sg

KADAR dividen yang diberikan kepada pemegang unit syarikat pemaju hartanah runcit, Reit SPH, meningkat 0.2 peratus bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Ogos 2018, meskipun pendapatan hartanah bersih susut.

Pengedaran dividen bagi setiap unit reit (DPU) itu mencapai 5.54 sen bagi tahun kewangan tersebut, berbanding 5.53 sen bagi tahun kewangan 2017, kata Reit SPH semalam.

Reit SPH, yang ditaja kumpulan berbilang media Singapore Press Holdings (SPH), mengumumkan pendapatan hartanah bersihnya susut sebanyak $2.1 juta mencapai $166 juta.

“Ia disebabkan oleh pendapatan lebih rendah dari Paragon, tetapi diimbangi sebahagiannya dengan sumbangan lebih tinggi dari The Clementi Mall dan The Rail Mall,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengurusan SPH Reit, Cik Susan Leng, dalam taklimat akhbar.

Reit SPH tidak menaikkan sewa di Paragon apabila kontrak sewa diperbaharui semasa kelembapan penjualan runcit sebelum tahun kewangan ini, lantas menjejas pendapatan sewanya yang susut 3.7 peratus.

Namun, pemulihan penjualan runcit mula dinikmati pada separuh kedua tahun lalu, justeru membantu meningkatkan penjualan para penyewa sebanyak 2.7 peratus mencapai $693 juta.

Bilangan pengunjung ke pusat beli-belah di Orchard itu meningkat 2.7 peratus.

The Clementi Mall pula telah menunjukkan pendapatan sewa yang meningkat sebanyak 3 peratus. Penjualan yang dinikmati para penyewa kedai di pusat beli-belah itu juga meningkat 2.2 peratus mencapai $230 juta dan bilangan pengunjung mencecah 29.9 juta.

Secara keseluruhan, portfolio nilai aset SPH Reit mencapai $3.37 bilion, berbanding $3.28 bilion setahun lalu – hasil penyertaan The Rail Mall yang baru dibeli dalam tahun kewangan 2018.

The Rail Mall, yang terletak di Upper Bukit Timah Road, merupakan kelompok unik yang mempunyai 43 unit rumah kedai.

“Oleh kerana lokasi The Rail Mall yang strategik, kami akan mengukuhkan tawaran makanan dan minuman (F&B) dan memperkenalkan program-program masyarakat di Rail Corridor untuk menarik lebih ramai pengunjung,” kata Cik Leng.

Sebanyak 80 peratus dari sewa kedai-kedai itu akan tamat pada 2019 dan 2020, memberikan peluang bagi reit itu mengemaskini gabungan penyewa di sana.

Termasuk pinjaman baru sebanyak $45 juta bagi membiayai sebahagian pembelian The Rail Mall, hutang keseluruhan reit itu kini mencecah $895 juta. Kadar pinjaman kekal rendah sebanyak 26.3 peratus.

Menurut Cik Leng, reit itu akan terus mencari hartanah runcit yang berpotensi untuk dibeli di Asia Pasifik untuk menambah portfolionya.

“Reit SPH telah memberikan setahun lagi pulangan yang konsisten kepada pemegang unit kami dan mempunyai aset yang berada dalam kedudukan yang baik untuk mencapai penyewaan penuh. Prestasi yang kukuh selama lima tahun sejak penyenaraian kami pada 2013 di sebalik kelembapan penjualan runcit merupakan satu bukti kerjasama kami dengan para penyewa kami bagi menikmati kejayaan bersama,” tambah Cik Leng.

DPU bagi suku keempat 2018 sebanyak 1.43 sen akan dibayar kepada pemegang unit pada 21 November ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.