Tawar khidmat jadi cef peribadi

Berita Harian - - GAH! - NUR DHUHA ESOOF nurdhuha@sph.com.sg

TUGAS sebagai tukang masak di dapur restoran mewah bukan buat calang-calang orang.

Mereka tidak boleh terhegeh-hegeh, perlu cepat bergerak dan mampu membuat keputusan segera.

Semangat kuat juga diperlukan kerana boleh dikatakan setiap hari ada sahaja adegan jerit-menjerit.

Kelentang-kelentung senduk berlaga dengan periuk serta bahang api dan asap perlu dihadap lapan jam sehari.

Encik Mohamed Nabeel Firdaus Aziz, yang pernah bekerja di dapur Bread Street Kitchen milik cef masyhur Gordon Ramsay, berkata ada kalanya beliau takut mahu pergi kerja pada Ahad.

“Dapur Bread Street Kitchen memang sibuk dan penuh tekanan. Keadaan mencabar kami secara jasmani dan mental. Apa yang dilihat dalam program realiti Hell’s Kitchen, 80 peratus berlaku dalam dapur Bread Street Kitchen.

“Tapi pengalamannya berbaloi. Saya rindukan pecutan adrenalin yang cuma boleh didapatkan dalam dapur restoran,” kata bujang berusia 27 tahun itu.

Di restoran itu juga Encik Nabeel belajar cara membuat kentang lecek lemak dan berkrim yang kini ditawarkan dalam menu Chef Naughty Rabbit.

Ditubuhkan Julai lalu, Chef Naughty Rabbit menyediakan khidmat chef peribadi yang memasak juadah Barat di rumah pelanggan.

Beliau menawarkan tiga menu buat masa ini, dengan setiap satu terdiri daripada tiga jenis hidangan, iaitu pembuka selera, juadah utama dan pencuci mulut.

Contohnya, pada bayaran $98 seorang, pelanggan dapat menikmati hidangan sotong bakar gaya Mexico yang disumbat sos ‘chipotle’ dan dihidangkan bersama salad; stik ‘ribeye’ dengan kentang lecek; dan ‘creme brulee’ dengan beri biru.

Apa yang menarik tentang tiga hidangan itu ialah sotong, stik, kentang lecek dan creme brulee dimasak menggunakan kaedah sous vide, iaitu dimasak pada suhu rendah dan tempoh lama dalam bungkusan padat.

Encik Nabeel berkata biasanya beliau memasukkan bungkusan makanan mentah itu ke dalam air yang suhunya dikawal lalu membiarkannya masak selama lapan hingga 10 jam sedang beliau tidur.

Keesokan harinya, beliau membawa makanan itu bersama mesin sous vide, pemanggang dan penyumpit gas ke rumah pelanggan. Semua perkakas menjamu selera seperti pinggan dan sudu garfu juga dibawa.

Apa yang perlu disediakan pelanggan ialah ruang dalam peti sejuk, meja makan kosong, air mencuci dan tenaga elektrik.

Memandangkan makanan sudah dimasak, beliau hanya perlu menggunakan penyumpit gas untuk menggaringkan bahagian luar sotong dan daging sebelum memotong dan menghidangkannya.

“Saya layan mereka seperti raja. Sambil mereka menjamu selera, saya berbual tentang resipi hidangan serta mengongsi panduan memasak,” katanya, yang boleh memasak sajian tengah hari atau malam bagi dua hingga 10 orang pada satu-satu masa.

Ditanya mengapa berani menawarkan khidmat itu sedangkan sebelum ini bekerja tetap, beliau berkata sebabnya ialah beliau suka melihat reaksi pelanggan ketika menikmati juadah yang disediakan.

“Di dapur juga saya setakat mengikut arahan. Saya suka memasak daging dan mencuba resipi tapi saya tidak boleh melakukannya di restoran orang lain. Lagipun masa bekerja di restoran membuat saya kurang masa bersama keluarga dan rakan.

“Kalau saya naik pangkat jadi ketua cef, tekanannya semakin meningkat. Saya tidak mahukan itu,” katanya.

Sebelum ini, Encik Nabeel pernah bekerja sebagai pelayan restoran makanan Sweden halal, Fika, sebelum menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Di Fika, beliau banyak menonton video Hell’s Kitchen dan Gordon Ramsay.

Selesai NS, beliau mendapatkan sijil kebersihan makanan dan mempelajari kemahiran menggunakan pisau untuk bekerja sebagai tukang masak di dapur Fika.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebelum menceburi bidang memasak.

Beliau mengikuti jurusan seni memasak di Akademi At-Sunrice GlobalChef selama setahun setengah serta peluang bekerja sambil belajar di Pizzeria Mozza Marina Bay Sands.

Akhir kata, beliau merancang meluaskan menu dan berkhidmat di negara lain pula seperti Brunei.

“Dulu perniagaan saya agak perlahan, dengan satu tempahan setiap satu atau dua minggu.

“Kini saya terima dua hingga tiga tempahan seminggu. Saya akan terus berniaga di Singapura buat masa ini tetapi rancangan saya pada masa akan datang adalah berkhidmat di luar negara,” katanya.

TAWAR KHIDMAT MEMASAK: Encik Nabeel menawarkan khidmat cef peribadi sejak Julai lalu setelah beberapa tahun meraih pengalaman di dapur restoran mewah di Singapura. – Foto-foto BH oleh SYAZA NISRINA

LEMBUT DAN ENAK: Stik bahagian ‘ribeye’ yang disediakan Encik Nabeel dimasak menggunakan kaedah ‘sous vide’ selama lapan hingga 10 jam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.