Mahu kekal kerja bomba

Berita Harian - - GAH! -

TAWARAN nyanyian dan lakonan kian bertambah tetapi penyanyi muda Syafiq Farhain yang semakin popular selepas bergelar naib juara program Big Stage, tidak pernah terfikir untuk bersara daripada kerjayanya sebagai anggota bomba.

Beliau, yang berkhidmat di ibu pejabat jabatan bomba dan penyelamat Malaysia di Putrajaya, melihat kerjaya sebagai anggota bomba cukup mulia dan memberi peluang mengumpul pahala kerana dapat membantu masyarakat yang sedang dalam kesusahan.

“Ketika menyertai program Big Stage, saya mengambil cuti dua bulan. Sehari selepas tamat Big Stage, saya terus memasuki set penggambaran filem Hero The Movie, sebuah filem tentang komitmen anggota bomba.

“Itu dikira sedang bertugas kerana filem tersebut ada kerjasama dengan jabatan bomba dan penyelamat Malaysia,” katanya yang turut menyanyikan runut bunyi filem berkenaan.

Menurut Syafiq, setakat ini kerjaya seni tidak mengganggu tugasnya sebagai anggota bomba kerana biasanya beliau hanya mengambil undangan nyanyian pada hujung minggu dan waktu malam.

“Setakat ini saya boleh mengimbangkan kerjaya seni dan bomba. Jadi, tidak ada sebab untuk saya berhenti sebagai anggota bomba kerana menyukai kedua-dua bidang,” luahnya kepada Kosmo! Online.

Syafiq juga tidak menyangka penyertaannya dalam program Big Stage membawa tuah.

Meskipun sekadar menjadi naib juara, penyertaannya dalam program realiti itu telah membuka mata banyak pihak terhadap bakatnya.

Persembahan yang sering mendapat pujian juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir, membuktikan Syafiq bukan sekadar penyanyi tular bermusim atau menumpang populariti bapanya, penyanyi legenda Saleem.

Sebaliknya, pemuda berusia 24 tahun itu membuktikan beliau benar-benar berbakat.

Rezekinya dalam bidang hiburan mencurah-curah dengan tawaran berlakon dalam filem Hero The Movie ketika masih terlibat dalam Big Stage.

Biarpun tidak pernah berlakon, Syafiq enggan melepaskan peluang keemasan tersebut apatah lagi filem itu mengangkat kerjaya bomba.

“Saya bangga walaupun hanya memegang watak sampingan. Jika dilihat secara kasarnya, saya seperti mencuba kerjaya baru, tetapi sebenarnya berlakon dalam filem Hero The Movie merupakan satu tanggungjawab,” katanya mengenai filem yang turut dibintangi Hisyam Hamid itu.

Penyanyi yang menghasilkan dua single iaitu Sayang Maafkan Aku dan Kamar Hati itu kini bakal muncul dengan single terbaru berjudul Aku Jatuh Cinta.

“Lagu Aku Jatuh Cinta agak rancak. Ia keluar daripada genre saya iaitu balada. Bagaimanapun, seperti saya katakan, tidak salah mencuba. Namun genre balada tetap di hati kerana ia mudah masuk ke dalam jiwa pendengar,” katanya.

“Ketika menyertai program Big Stage, saya mengambil cuti dua bulan. Sehari selepas tamat Big Stage, saya terus memasuki set penggambaran filem ‘Hero The Movie’, sebuah filem tentang komitmen anggota bomba. Itu dikira sedang bertugas kerana filem tersebut ada kerjasama dengan jabatan bomba dan penyelamat Malaysia... Setakat ini saya boleh mengimbangkan kerjaya seni dan bomba. Jadi, tidak ada sebab untuk saya berhenti sebagai anggota bomba kerana menyukai kedua-dua bidang.’’ – Syafiq Farhain (kanan).

Foto KOSMO ONLINE

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.