Swee Keat: Menteri muda perlu beri tumpuan pastikan S’pura terus maju

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

NUSA DUA (Bali): Menteri muda dalam Kabinet Singapura bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pengganti peneraju politik bahkan membawa agenda negara untuk maju, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar acara Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Rapat Tahunan Kumpulan Bank Dunia di sini semalam.

Menjawab soalan mengenai tahap penggantian pemimpin politik dan siapa yang bakal menjadi perdana menteri Singapura seterusnya, Encik Heng berkata menteri-menteri muda di Kabinet semua bekerja rapat dan mempunyai “pemahaman yang sangat baik antara satu sama lain”, lapor akhbar The Straits Times.

“Kami melihat beberapa perkara yang perlu kami lakukan untuk Singapura, jadi saya fikir tumpuan kita bukan hanya untuk penggantian (politik),” kata Encik Heng.

“Tumpuan kita seharusnya membawa agenda ke depan, apa yang perlu dilakukan di Singapura untuk memastikan Singapura terus stabil, makmur dan kami menyediakan peluang yang baik untuk rakyat kita di pelbagai bidang, sama ada pendidikan, penjagaan kesihatan atau perumahan awam,” tambah beliau.

Encik Heng menegaskan bahawa pemimpin “mesti terus membuat kemajuan” dan akan membincangkan topik-topik tersebut dengan lebih terperinci dalam beberapa bulan akan datang.

“Dan saya ingin memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa, sebenarnya, kami bekerja dengan baik bersama sebagai satu pasukan,” tegasnya.

Bulan lalu, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam berkata bahawa rakyat Singapura akan mempunyai idea yang lebih jelas tentang siapa yang akan menjadi perdana menteri Singapura seterusnya pada 2019, sambil menambah bahawa satu petunjuk bakal tiba berdasarkan pilihan raya Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Tindakan Rakyat

“Tumpuan kita seharusnya membawa agenda ke depan, apa yang perlu dilakukan di Singapura untuk memastikan Singapura terus stabil, makmur dan kami menyediakan peluang yang baik untuk rakyat...” – Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat.

(PAP) yang dijadual akhir tahun ini.

Beliau menambah generasi pemimpin seterusnya akan diberi portfolio berbeza, dan memerlukan “sedikit masa dengan rakyat Singapura supaya rakyat dapat melihat dan membuat penilaian sendiri.”

Encik Shanmugam juga mengatakan bahawa terdapat “kumpulan kecil” menteri-menteri muda yang bermesyuarat secara tetap setiap minggu, tanpa Perdana Menteri atau menteri kanan yang hadir, untuk membincangkan dasar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.